Serbuan besar-besaran, rampasan rokok dan minuman keras tanpa kastam bernilai RM345,260.80

BINTULU: Batalion 12 Miri Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri merampas sebanyak 1167 kotak minuman keras dan 366 kotak rokok pelbagai jenis disyaki tidak mempunyai cukai kastam hasil Ops Libas di Jalan Bintulu Tatau Shophouse dan KLD Jalan Sibiyu B semalam.
Serbuan dalam tempoh dua jam bermula sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang itu menyaksikan hasil kesemua rampasan termasuk cukai kastam dianggarkan berjumlah RM345,260.80.
Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri Superintendan Tan Hiap Seng berkata serbuan pertama di sebuah stor dan dua buah kenderaan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan menemui 87 kotak bir dianggarkan bernilai RM13,050.

SERBU… stor disyaki menjadi tempat simpanan minuman keras tidak bercukai kastam diserbu

“Serbuan kedua di lokasi sama berjaya merampas 76 kotak bir, empat kotak arak, 273 karton rokok putih, 93 kotak rokok kretek
“Manakala serbuan ketiga yang dilakukan di Jalan Sibiyu B melibatkan rampasan 1000 kotak bir dianggarkan bernilai RM150,000,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya turut dirampas dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Proton Iswara.
Susulan itu katanya kesemua tangkapan dan rampasan itu akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bintulu untuk tindakan siasatan lanjut.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Beliau pada masa sama menegaskan pihaknya akan terus melakukan operasi sedemikian untuk membanteras kegiatan haram khususnya di daerah Bintulu.
Selain itu katanya orang awam turut diminta membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan haram supaya tindakan undang-undang dapat diambil.
SEMBUNYI… kenderaan pikap turut menjadi tempat persembunyian barangan seludup

Suara Sarawak