SERIAN: Serian, yang muncul sebagai separuh akhir musim lalu, bersedia berdepan ATM dalam aksi kedua Zon Selatan Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) di Kompleks Sukan Bau, petang esok (Sabtu).
Skuad itu turun dengan misi memburu kemenangan kedua bagi mengutip tiga mata penuh.
Penolong Jurulatih Serian, Anizan Sahari berkata, barisan pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersemangat menghadapi perlawanan berkenaan.
“Kita turun dengan satu misi, iaitu mahu mencatat kemenangan.
“Segalanya bukan mudah kerana lawan mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya kepada Arena Sarawak.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan kemampuan pemainnya, terutama kesebelasan utama yang bakal diturunkan.
“Apa yang penting, saya harap pemain dapat kekal fokus, menyerap tekanan dan tampil dengan semangat juang yang tinggi,” katanya.
Menurut Anizan, tiada pemain yang mengalami kecederaan ketika ini, sekali gus memberi peluang kepada pasukan menurunkan kesebelasan terbaik.
Serian kini mengumpul tiga mata selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM minggu lalu.



