SERIAN: Pertembungan gergasi serba mantap, Serian dan Betong di Kompleks Sukan Betong pada Sabtu ini dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Ini kerana keputusan daripada perlawanan tersebut akan memberi impak yang berbeza buat kedua-dua pasukan.
Bagi Serian, tiga mata menjadi sasaran utama dalam perlawanan timbal balik berkenaan.
Kemenangan, sekiranya berjaya dicapai, akan memuktamadkan status mereka sebagai juara Zon Selatan, meskipun skuad kendalian Edward Jamid Unting itu masih mempunyai baki satu perlawanan selepas ini.
Pengurus pasukan, Mohamad Azlan Sebi berkata fokus pasukan pada Sabtu ini ialah memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
“Menang ke atas Betong Sabtu ini, Serian akan bergelar juara Zon Selatan,” ujar Azlan kepada Arena Suara Sarawak.
Menurutnya, meskipun pemerhati bola sepak tempatan meramalkan Serian tidak menghadapi masalah untuk memenangi perlawanan tersebut, pasukannya tidak boleh megambil mudah kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Kita tahu setiap perlawanan mempunyai cabarannya tersendiri dan boleh berubah. Namun saya mengingatkan pemain agar sentiasa fokus dan berusaha memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan,” katanya.
Selepas mengharungi sepuluh perlawanan, Serian kekal di tangga teratas dengan 28 mata hasil sembilan kemenangan dan satu seri.


