ASPIRASI Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mencapai sasaran Sifar Karbon 2050 bukan sekadar agenda alam sekitar, tetapi merupakan pelan transformasi ekonomi yang membuka ruang baharu bagi pembangunan teknologi hijau di negeri ini.
Dalam ekosistem digital moden, antara aspek yang semakin diberi perhatian ialah penggunaan server mesra alam, komponen penting yang sering tidak disedari, namun memainkan peranan besar dalam penggunaan tenaga global.
Hari ini, hampir setiap perniagaan bergantung pada Internet.
Laman web, sistem tempahan, aplikasi mudah alih, dan platform e-dagang beroperasi 24 jam sehari melalui server data di seluruh dunia.
Tanpa kita sedari, pusat data konvensional menggunakan tenaga elektrik yang amat tinggi dan menjadi antara penyumbang utama pelepasan karbon disebabkan pergantungan kepada tenaga fosil.
Setiap gambar yang dimuat naik, setiap tempahan, malah setiap carian “tempat makan terbaik” turut meninggalkan jejak karbon yang tidak kelihatan.
Menyedari realiti ini, pereka web yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri tersebut, Faruqi Jeniri, 37, mengubah cara perniagaan melihat dunia digital yang bukan sahaja menumpukan pada reka bentuk cantik, tetapi juga pada kelestarian alam.
Dengan sokongan inisiatif Sifar Karbon 2050 dan dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang digerakkan Premier Sarawak, Faruqi melalui Faruqi Studio kini mengoperasikan server berasaskan tenaga solar dan angin.
Setiap laman web yang dibangunkan bukan sahaja membantu perniagaan kecil menonjol dalam talian, tetapi turut menyumbang kepada program penanaman pokok global melalui kerjasama dengan One Tree Planted, sekali gus menjadikan pendigitalan dan kelestarian berjalan seiring.
Menurut Faruqi, yang juga anak kelahiran Kuching, teknologi bukan ancaman jika digunakan dengan niat yang baik.
“Teknologi bukan musuh. Jika digunakan dengan niat yang baik, ia boleh memperkasakan manusia dan melindungi bumi pada masa yang sama.
“Masa depan digital bukan sekadar inovasi, tetapi tanggungjawab terhadap planet.
Dari sudut teknikal, server mesra alam menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidroelektrik, serta dilengkapi sistem penyejukan pintar dan pengurusan haba automatik,” ujarnya.
Menariknya, teknologi ini mampu mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 30 hingga 40 peratus berbanding pusat data lama, yang bukan sahaja memberi kesan negatif kepada alam sekitar, malah meningkatkan kos jangka panjang bagi penyedia perkhidmatan digital.
Di Malaysia, khususnya di Sarawak, keperluan ini semakin jelas.
Statistik menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia kini menggunakan Internet, dengan 86 peratus mengakses laman sesawang melalui telefon pintar dan purata penggunaan dalam talian sekitar lima jam sehari.
Di Sarawak pula, liputan internet yang hampir menyeluruh membuka peluang luas kepada perniagaan tempatan untuk berkembang dalam ekonomi digital.
“Setiap syarikat perlu mempunyai laman web sendiri.
Ia berfungsi seperti brosur digital 24 jam yang memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat atau membuat pembelian,” jelas Faruqi dalam temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak di pejabatnya barubaru ini. Kesedaran terhadap impak karbon digital mendorong Faruqi mengambil pendekatan yang lebih berani.
Selaras dengan visi hijau Premier Sarawak serta dasar nasional seperti Ekonomi MADANI (Malaysia 2030), beliau bercita-cita menjadi antara yang pertama di Kuching menjalankan operasi sepenuhnya menggunakan server tenaga boleh diperbaharui.
Bekerjasama dengan penyedia server terkenal dari Jerman, Faruqi sedang memindahkan semua laman web pelanggan ke rangkaian server hijau sepenuhnya.
Malah, bagi setiap 100 kW tenaga yang digunakan, mereka membeli semula 300 kW tenaga hijau ke dalam grid bagi mengimbangi pelepasan karbon dengan lebih efektif.
Setiap langganan baharu juga menyumbang kepada penanaman pokok melalui One Tree Planted, yang dilaksanakan dengan pemantauan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat.
“Pelanggan menghargai apabila mereka tahu bahawa perniagaan mereka turut menyumbang kepada kelestarian,” katanya lagi.
Berpangkalan di Saradise, BDC, Faruqi Studio menawarkan penyelesaian digital lengkap termasuk laman web korporat, e-dagang, sistem tempahan, platform janji temu, laman senarai seperti mudah.my, serta aplikasi mudah alih yang diselaraskan dengan laman web pelanggan.
Namun, beliau mengakui banyak perniagaan kecil masih ragu-ragu untuk melangkah ke dunia digital, sama ada disebabkan pemikiran tradisional atau kos pembangunan laman web.
Memahami kekangan tersebut, Faruqi menawarkan pakej berpatutan dengan fokus kepada nilai sebenar.
Setiap laman web dilengkapi ciri seperti AI Chatbot, Pengoptimuman Enjin Carian (SEO), pengoptimuman kelajuan, keselamatan serta integrasi aplikasi khusus.
Prinsip beliau mudah, laman web berkualiti tidak seharusnya hanya untuk syarikat besar.
Dalam proses reka bentuk, Faruqi menekankan kerjasama rapat dengan pelanggan melalui sesi soal jawab bagi memahami identiti jenama, warna, konsep dan sasaran perniagaan.
Kecerdasan Buatan (AI) digunakan sebagai alat pemudah cara dan bukannya pengganti manusia.
Ia membantu mempercepatkan proses sambil memastikan hasil akhir tetap mempunyai sentuhan kreatif manusia.
Justeru, transformasi digital hijau bukan sekadar menggunakan server mesra alam, tetapi membina budaya teknologi yang beretika dan mampan.
Dengan sokongan kerajaan, inovasi tenaga boleh diperbaharui dan usaha individu seperti Faruqi, Sarawak berada pada landasan tepat menuju ekonomi rendah karbon serta masa depan digital yang lebih bersih.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan beliau boleh didapati di www.faruqi.com. my.



