ARTIKEL

Aktiviti mendaki gunung atau meredah hutan sangat popular hari ini kerana individu itu boleh menikmati keindahan alam semula jadi sambil meningkatkan kecergasan fi zikal serta mental. Tetapi ia mesti dilakukan secara berkumpulan dan memerlukan persiapan rapi.

Sesat di dalam hutan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEORANG wanita warga Australia yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Santubong di sini pada 22 April lalu, ditemui selamat dua hari kemudian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas operasi mencabar yang berdepan laluan berbahaya.

Memetik Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga, mangsa berjaya dikesan pada jam 11.59 pagi di dalam sebuah gaung kira-kira 700 meter dari jalan utama.

Pasukan SAR memaklumkan mangsa berada dalam keadaan sedar, mampu berkomunikasi dengan penyelamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut beliau, operasi membawa mangsa keluar dari lokasi mengambil masa antara dua hingga tiga jam berikutan keadaan muka bumi yang sukar, termasuk cerun curam, kawasan berbukit serta kedudukan mangsa yang jauh di dalam gaung.

Mangsa, Belinda Lapier, dilaporkan hilang selepas dipercayai tersasar laluan utama ketika menuruni gunung.

Pada hari pertama operasi menyelamat, pasukan penyelamat hanya berjaya mengesan suara mangsa, namun gagal menentukan lokasi tepat berikutan keadaan hutan yang tebal.

Operasi SAR memasuki hari kedua dengan pasukan penyelamat berdepan laluan sukar, termasuk kecerunan hampir 90 darjah serta halangan batu dan pokok besar.

Pasukan turut dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mencari laluan alternatif untuk sampai ke lokasi mangsa, kata Alexson.

Beberapa hari kemudian, di Gunung Bung Muan, seorang wanita dan anak saudaranya berdepan detik cemas apabila tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Bung Muan, Siniawan pada 25 April.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A. Rahman, pada awalnya, wanita berusia 52 tahun itu pergi melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan bersama-sama anak lelakinya, 21, dan anak saudaranya, 21, sekitar jam 8.30 pagi.

Ketika pendakian sekitar jam 1.45 tengah hari, wanita terbabit bersama-sama anak saudaranya menyedari mereka tersesat dan tidak menemukan laluan sebenar, manakala anaknya berjalan mendahului mereka dan menyebabkan mereka terpisah.

Pada jam 5.30 petang hari itu, anak mangsa sampai di kaki gunung dan mendapati keduadua mangsa tiada di situ, dan terus memohon bantuan.

Kedua-dua mangsa meneruskan perjalanan sehingga mereka berdua berjaya keluar di Serembu Eco Park, Siniawan pada jam 6.30 petang.

Nah, ini dua berita berkaitan insiden sesat ketika mendaki gunung pada minggu lalu.

Meskipun semua mangsa ditemui selamat, namun sepanjang operasi mencari dan menyelamat dilakukan, seribu satu kemungkinan boleh berlaku kepada mangsa yang hilang Saya dapat bayangkan perasaan ahli keluarga mangsa yang resah mengharapkan orang kesayangan mereka ditemui selamat tanpa sebarang kecelakaan.

Setiap detik jam penantian pasti satu penyeksaan kepada mereka.

Syukur kerana sehingga ke hari ini saya tidak pernah melalui pengalaman sesat di dalam hutan.

Bahkan tiada juga ahli keluarga saya melalui situasi tersebut meskipun mereka selalu masuk keluar hutan di kampung.

Kampung kedua-dua ibu bapa  saya di Ulu Baram dikelilingi hutan belantara.

Justeru, setiap kali pulang ke kampung, saya berpeluang mengikut keluarga saya masuk ke dalam hutan, meredah sungai atau sebagainya.

Saya masih ingat, beberapa tahun lalu, bapa pernah membawa saya dan abang sulung meredah hutan berdekatan kebun di Paong, Ulu Baram untuk melihat kawasan tanah kami.

Ini kali pertama saya dan abang masuk ke kawasan hutan tersebut. Untuk ekspedisi itu, bapa meminta saya mengenakan baju dan seluar panjang, kasut but hutan, topi selain membawa lampu suluh, lampu kepala dan botol air di dalam belanyat (beg rotan). Abang juga melakukan perkara yang sama.

Kami bergerak ke kawasan hutan tersebut sekitar jam 1.00 tengah hari.

Sebelum masuk ke dalam hutan, bapa meminta kami mengikut setiap laluan yang dilaluinya.

Kami meredah anak sungai kecil, memanjat dan menuruni bukit kecil, melintasi kayu balak dan sebagainya

. Ada ketika laluan hutan itu rata, berair dan haiwan kecil seperti pacat turut kelihatan.

Meskipun bapa sudah arif dengan laluan hutan tersebut, namun kami bergerak perlahan dan sentiasa menjaga satu sama lain.

Sekitar jam 4.00 petang, kami keluar dari dalam hutan tersebut.

Sebenarnya aktiviti meredah hutan, mendaki gunung atau bukit menuntut seseorang mempunyai ketahanan mental dan fizikal kuat.

Tambahan pula, masuk ke dalam hutan bukan seperti pergi ke taman. Jika diberi peluang masuk ke dalam hutan, saya akan turut serta bergantung dengan tahap cabarannya.

Justeru, segala arahan yang diberikan oleh ketua mesti diikuti bagi memastikan ekspedisi berjalan lancar dan selamat.

Kesimpulannya, aktiviti mendaki gunung atau meredah hutan sangat popular hari ini kerana individu itu boleh menikmati keindahan alam semula jadi sambil meningkatkan kecergasan fizikal serta mental.

Tetapi ia mesti dilakukan secara berkumpulan dan memerlukan persiapan rapi.

BERITA LAIN

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU