Sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan pelajar peperiksaan utama

KUCHING: Murid-murid prasekolah, sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang tidak menduduki peperiksaan awam di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) tidak perlu menghadiri kelas secara bersemuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bermula 20 Januari ini, mereka akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dinRumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Ketetapan ini juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional negeri Sarawak,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebaliknya jelas Uggah, bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam 2020 dan 2021, mereka harus mengikuti kelas secara bersemuka di sekolah seperti biasa.
“Sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya.
Tambah beliau, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini selaras dengan pengumuman Kementerian Pendididkan Malaysia (KPM) sebelum ini.

Suara Sarawak