BINTULU: Pencapaian cukup membanggakan diraih skuad Sesuka FT yang berada dalam kelas tersendiri pada Kejohanan Raja Futsal Belaga Edisi Ke-2 2026.
Pasukan itu berjaya menduduki tempat ketiga bersama sebuah lagi pasukan, iaitu Naga Asmara FT, pada kejohanan berprestij yang berlangsung di Stadium Muhibbah, Bintulu, hujung minggu lalu.
“Pencapaian ini amat memberangsangkan. Walaupun sekadar menduduki tempat ketiga bersama, para pemain telah berusaha memberikan aksi terbaik sepanjang saingan,” tegas pengurus pasukan, Fadlisyah Merikan, kepada Arena Suara Sarawak.
Kelab yang berasal dari Mukah itu dianggap sebagai antara pencabar yang sentiasa memberi saingan sengit dalam pelbagai kejohanan yang disertainya.
Menurut Fadlisyah, sememangnya menjadi fokus pasukan untuk merealisasikan impian menjulang gelaran juara.
Namun, perjalanan ke arah itu amat mencabar memandangkan kredibiliti tinggi yang dimiliki pasukan-pasukan lain.
“Apa pun, kami melihat kejayaan menduduki tempat ketiga bersama dari sudut positif,” tambah Fadlisyah.
Beliau percaya detik yang dinantikan para pemain untuk bergelar juara akan tiba suatu hari nanti.
Yang pasti, beliau akan terus menyemarakkan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain agar misi untuk meraih gelaran juara dapat dicapai.
Pada kejohanan tersebut, pasukan Ayash United muncul juara, manakala pasukan Mozo Sport menduduki tempat kedua.


