ARTIKEL

Setelah 40 tahun nek Kiah bawa anak, cucu Raya di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

APABILA menjelang Hari Raya Aidilfi tri, ramai yang pulang kampung untuk berkumpul bersama-sama keluarga dan sanak saudara.

Bagi Nek Kiah, kerinduan kian lama disimpan kerana berpuluh tahun tidak balik kampung halaman merai Aidilfi tri di Sarawak bersama-sama anak dan cucu.

Sekitar 40 tahun tidak merai Hari Raya di tempat kelahiran, Samsiah Karim atau lebih dikenali sebagai Nek Kiah, kali ini membawa rombongan terdiri daripada anak dan cucunya dari Pulau Pinang untuk pulang kampung di Sarawak.

Nek Kiah, warga asal Jalan Kenanga, Kampung Gita di Kuching.

Beliau mengikut suami tinggal di Pulau Pinang.

“Apabila balik Sarawak, saya berjumpa dan menziarahi rakan lama di kampung Gita bersamasama anak dan cucu pada raya kali ini. 

“Ini merupakan raya kali pertama bagi cucu saya di Sarawak kerana mereka belum pernah ada pengalaman beraya di sini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Keseronokan tidak dapat disembunyikan oleh Nek Kiah apabila menziarahi rumah kenalan di Sarawak.

Katanya, terdapat 15 rumah termasuk rumah kawan lama diziarahi dalam masa dua hari.

SUASANA BERBEZA

Ramai rakan menghubunginya agar menziarahi rumah mereka setelah dapat tahu beliau pulang ke Sarawak untuk beraya.

Di samping itu, menurut Nek Kiah suasana berbeza di Pulau Pinang berbanding tempat asalnya merupakan perkara yang amat ketara bagi sambutan perayaan Aidilfi tri.

Nek kiah berkata, suasana lebih meriah di Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia.

Di Sarawak, tuan rumah mempelawa menziarahi rumah walaupun tidak mempunyai ikatan keluarga yang rapat.

“Apabila saya beraya ke rumah kawan, rumah sebelahnya yang merupakan kenalan juga mempelawa saya sekeluarga berziarah.

“Ziarah-menziarahi di sana (Semenanjung Malaysia) ketika menyambut Hari Raya adalah untuk keluarga rapat dan berkumpul di satu rumah saja,” jelasnya.

Tambahnya lagi, perayaan di Sarawak terdapat hidangan pelbagai jenis kek lapis, biskut dan kacang serta pelbagai perisa air berkabonat.

“Di sana, tuan rumah menghidangkan masakan Raya seperti rendang, ketupat dan lain-lain serta air sirap yang dituang dalam gelas besar.

“Berbanding di Sarawak, tuan rumah menghidangkan air berkarbonat dalam gelas yang kecil,” ulas Nek Kiah.

Justeru, menziarahi rumah semasa Hari Raya di Sarawak tidak mengira waktu sehingga lewat malam.

Menurut Nek Kiah, cucunya pernah bertanya; kenapa ziarah rumah orang sampai tengah malam?

Pada masa yang sama, Nek Kiah juga berpesan dengan cucunya supaya tidak hairan dengan suasana menyambut Hari Raya di Sarawak.

“Saya kata kepada cucu agar tidak hairan apabila petang lagi sudah kedengaran mercun di sekitar kawasan rumah.

“Kita di Sarawak meriah dengan mercun dan bunga api,” katanya.

Selain itu, Nek Kiah sempat berkongsi kisah, beliau mencari kawan lama di rumah sekitar sekolah lamanya dahulu iaitu Sekolah Rendah Encik Buyong di Jalan Astana.

KENALAN LAMA

Menjejak kawasan tersebut, banyak kenalan yang ingin dijumpainya, namun tidak kesampaian.

“Saya tanya penduduk di situ tentang keberadaan kenalan lama saya, semuanya sudah meninggal!” ujarnya sedih. Nek Kiah berharap dapat kembali ke Sarawak lagi tahun depan menyambut Aidilfitri.

Pada masa yang sama, cucu kepada Nek Kiah, Muhammad Amirul Faiz Suryami, 21, berkata, keterujaan beraya di Semenanjung Malaysia dan di Sarawak berbeza.

Menurutnya di Sarawak, banyak makanan yang dihidangkan seperti pelbagai jenis kek lapis, biskut, kerepek dan sebagainya.

Faiz juga hairan melihat setiap rumah diziarahinya menghidangkan pelbagai perisa air karbonat yang jarang dijumpai ketika beraya di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, menurut Afi f Jazimin Azri, 21, beraya di Sarawak memberi pengalaman menyeronokkan baginya.

Afi f berkata, pakaian baju raya di Sarawak dipakai sepanjang hari berbanding di Pulau Pinang hanya memakainya setengah hari.

Manakala, cucu Nek Kiah, Muhammad Arif Aiman, 25, berkata keterujaan kali pertama menyambut Hari Raya di Sarawak sangat ketara dari segi budaya, adat dan sebagainya.

“Dapat dilihat apabila cara pemanduan kenderaan di Sarawak sangat santai berbanding di Semenanjung.

“Selain itu, di sini sangat meriah dengan bunga api dan terdapat makanan seperti bubur pedas serta laksa Sarawak dapat dirasai keasliannya itu,” jelasnya.

Aiman berharap agar dapat beraya di Sarawak lagi tahun depan kerana banyak rumah keluarga yang belum sempat diziarahi.

BERITA LAIN

Rumah Oren sukar ditandingi

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

BERITA TERBARU