SERIAN: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengingatkan penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya tidak mengisytiharkan kemenangan sebelum undi dikira pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, 12 Disember ini.
Uggah yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya GPS menggesa penyokong supaya memastikan jumlah keluar mengundi tinggi pada pilihan raya itu dan tidak beranggapan bahawa gabungan berkenaan pasti menang.
Mengimbas kembali satu pilihan raya sebelum ini apabila seorang calon tewas dengan majoriti tipis – hanya tujuh undi, sekali gus menekankan betapa pentingnya kehadiran pengundi pada hari pengundian.
“Jangan gunakan ungkapan ‘kita pasti menang’.
Kita hanya akan tahu sama ada kita menang selepas semua undi dikira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan bersempena dengan majlis perasmian projek pembangunan bagi Kampung Meboi, Kampung Junggu Mawang dan Kampung Batu Kudi di Dewan Serba Guna Kampung Meboi di sini, hari ini.
Uggah turut menggesa penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan supaya keluar mengundi beramai-ramai pada hari pengundian, sambil menegaskan bahawa setiap undi amat penting.
Terdahulu, beliau mengucapkan tahniah kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup, Datuk Martin Ben kerana mendapat lampu hijau untuk mempertahankan kerusi berkenaan, sambil memberitahu beliau dan beberapa pemimpin lain masih menunggu tiket masing-masing untuk bertanding.
“Saya membaca dalam akhbar baru-baru ini bahawa Datuk Martin Ben sangat bertuah kerana sudah menerima tiketnya.
“Yang lain masih belum menerima tiket masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, Uggah mengingatkan Martin bahawa memperoleh tiket untuk bertanding bukanlah penamat tanggungjawabnya, sebaliknya merupakan permulaan kepada peluang baharu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di kawasan DUN Kedup.
Tambahnya, GPS akan terus mendekati masyarakat selepas pilihan raya memandangkan masih terdapat beberapa isu pembangunan yang perlu ditangani. — NURA VALENTIANA LORNA





