SIBU: Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Sibu berjaya melaksanakan operasi pelupusan eksibit sarang burung walit seberat 481.13 kilogram (kg) dengan nilai anggaran mencecah RM400,000, berdasarkan harga pasaran tempatan.
SFC dalam satu kenyataan di laman sosialnya semalam memberitahu, operasi tersebut, yang berlangsung di Rizab Semula Jadi Tun Ahmad Zaidi, mencerminkan komitmen tinggi SFC dalam melindungi khazanah alam dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan hidupan liar.
Pelupusan dibuat dengan kaedah pembakaran terkawal, bermula jam 8 pagi dan selesai pada 12.10 tengah hari.
“Operasi ini melibatkan lapan pegawai SFC, empat ‘Wildlife Guardian Rangers’ (WGR), serta disaksikan oleh dua pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Menurut SFC, eksibit sarang burung walit yang dilupuskan ini adalah hasil rampasan yang melibatkan pelanggaran Seksyen 34(b), dibaca bersama Seksyen 33(2)(a) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Ordinan ini, jelasnya, menetapkan bahawa mana-mana individu yang didapati memiliki, menjual atau membeli sarang burung walit daripada sumber tidak sah boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000.
Menurut SFC, keseluruhan sarang burung walit yang dilupuskan dibakar sehingga menjadi abu, dan sisa pembakaran diuruskan dengan kaedah mesra alam.
Proses pelupusan ini dilaksanakan dengan penuh teliti, mematuhi semua garis panduan keselamatan serta prosedur yang ditetapkan.
“Operasi ini membuktikan kesungguhan SFC dalam memastikan sumber semula jadi dan hidupan liar di Sarawak terus dilindungi daripada sebarang ancaman aktiviti haram,” kata SFC.
Beliau turut menegaskan bahawa SFC akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan undang-undang berkaitan hidupan liar dipatuhi sepenuhnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap undang-undang yang melibatkan pemilikan dan penjualan sarang burung walit.
Kerjasama daripada masyarakat amat penting dalam usaha memastikan pemeliharaan hidupan liar dan sumber semula jadi negeri ini.







