KOTA SAMARAHAN: Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) 2026 melabuhkan tirainya malam tadi selepas berlangsung 11 hari dengan mencatat kejayaan memberangsangkan apabila merekodkan kira-kira RM600,000 hasil jualan sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung berbanding tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah tersebut jauh mengatasi rekod jualan pada penganjuran tahun lalu yang mencatatkan RM407,000 sahaja.

Menurutnya, edisi tahun ini merupakan penganjuran terbaik sejak festival itu diperkenalkan sama ada dari segi penyertaan peniaga, kehadiran pengunjung mahupun nilai jualan yang direkodkan.
“Kita melihat penganjuran program seperti ini membawa banyak manfaat kepada masyarakat di sekitar Kota Samarahan, sama ada dalam kalangan usahawan mahupun penduduk setempat.
“Banyak perkara yang boleh kita lihat dan contohi daripada peserta yang datang menyertai festival ini. Ia bukan sahaja menjadi platform mempromosikan produk tempatan, malah membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penangguhan Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) 2026 anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Karim menambah penganjuran SFCF oleh MPKS bukan sekadar menghidupkan ekonomi tempatan, malah berperanan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Selain gerai jualan, kita turut mengetengahkan kebudayaan pelbagai kaum yang menetap di kawasan ini seperti Iban, Bidayuh, Melayu, Cina dan lain-lain.
“Inilah semangat toleransi yang ingin kita pupuk supaya Kota Samarahan terus menjadi sebuah kawasan yang harmoni, maju dan selesa untuk didiami,” ujarnya.
Sementara, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali memaklumkan, SFCF 2026 berjaya mencapai matlamat penganjurannya sebagai platform yang menyatukan masyarakat menerusi makanan, kebudayaan, seni, keusahawanan serta pelbagai aktiviti komuniti.
Menurutnya, dari aspek makanan, festival tersebut menyediakan ruang kepada para vendor untuk menjalankan perniagaan selain menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan memasak dan Pesta Nanas yang mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau memaklumkan, pencapaian tersebut membuktikan bahawa SFCF bukan sekadar festival makanan dan kebudayaan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dengan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan serta memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.



