PADA masa kini, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara yang perlu diketengahkan dalam sesebuah negara bagi mencapai status negara maju.
Ini kerana, TVET mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi dengan bidang kemahiran yang dimiliki mereka.
Buktinya, Mohd Shahril Rezal, 26, graduan elektrikal dari Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah kini memiliki dua syarikat iaitu M. Shahril Enterprise ditubuhkan 15 Disember 2017 dan Syaihan Personal Skills Class pada 17 Jun 2022.
“Saya belajar di PPKS pada 2015 sehingga 2016 dan alhamdulillah, dalam tempoh setahun itu, saya lulus.
“Tamat pengajian, saya bekerja bawah syarikat lain sebagai pendawai selama dua tahun.
Kemudian, saya memulakan syarikat kecil-kecilan dan perniagaan saya berkembang sehingga sekarang,” katanya kepada Suara Sarawak.
Pada masa yang sama, Shahril merupakan pelajar separuh masa bagi melayakkan dia mengambil lesen sebagai pendawai gred dua di PPKS Mukah dan Lesen ‘Electrical Installation Contractor’ di Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu.
Dedahnya, kini syarikatnya berdaftar bawah Sarawak Energy Berhad.
Menyedari dirinya kurang cemerlang dalam akademik dan lebih meminati bidang elektrik, dia akhirnya memilih terus berkecimpung dalam bidang kemahiran.
Di samping itu, dia turut menjadikan bekas majikannya iaitu Ramzi Sidek pemilik Ramzi Enterprise Mukah sebagai inspirasi dalam bidang ini.
“Beliau banyak mengajar saya berkaitan elektrik dan juga selok-belok dalam perniagaan ini.
Sehingga kini, saya masih bertanya kepadanya sekiranya mempunyai keraguan ke atas sesuatu kerja.
“Selain itu, saya juga menerima pelatih praktikal di syarikat ini dan mereka terdiri daripada pelajar GiatMara Mukah, Politeknik Mukah, Politeknik Kota Kinabalu Sabah, Kolej Vokasional Bintulu, Miwt Training Centre Miri, Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak dan Sarawak Electrical Industry Training Institute.
“Dalam setahun, jumlah mereka yang paling ramai saya terima setakat ini ialah lapan orang,” jelasnya.
ILMU ASAS Shahril juga berpendapat kemahiran bidang elektrik sangat penting dikuasai oleh golongan muda kerana ia merupakan ilmu asas yang mesti ada dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi dalam dunia serba canggih kini.
Antara perkhidmatan yang disediakan di syarikatnya ialah kontraktor, penyelenggaraan, pemasangan dan pembaikan.
Manakala, bagi kelas disediakan pendawaian, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), paip, mesin basuh, mesin jahit elektrik, kipas dan barangan elektrik lain.
Shahril turut berkongsi cabaran yang dihadapinya sepanjang menjadi pendawai dan antaranya melayan kerenah pelanggan.
“Selain itu, saingan harga dari syarikat elektrik turut menjadi cabaran menyebabkan pelanggan lebih mengutamakan harga rendah berbanding kualiti.
“Namun, terdapat juga sesetengah mereka yang lebih mengutamakan kualiti dan tidak berkira tentang harga.
“Pada awalnya, saya juga sukar mengambil barang disebabkan kenderaan yang digunakan tidak dapat menampung kapasiti barang yang dibawa.
Alhamdulillah, kini kenderaan tidak menjadi masalah bagi saya,” ujarnya.
Dedahnya, kerja di luar tidak semudah disangka dan sangat berbeza daripada yang dipelajari sepanjang di PPKS kerana lebih mencabar berbanding latihan di PPKS



