KUCHING: Institut Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA Institute) menggesa Kerajaan Persekutuan menyemak semula pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ‘fleet card’ yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu kerana didakwa tidak mengambil kira keperluan industri pembinaan serta realiti operasi di Sarawak.
Menurut kenyataan SHEDA Institute, walaupun usaha kerajaan menangani ketirisan dan penyeludupan diesel wajar disokong, pelaksanaan dasar tersebut memberi kesan kepada pelbagai sektor yang bergantung kepada pengangkutan, khususnya industri pembinaan, pembuatan dan pembangunan hartanah.
“Pengecualian kenderaan seperti lori tipper dan lori pengadun konkrit daripada skim subsidi diesel adalah sesuatu yang sukar diterima.
“Kenderaan tersebut memainkan peranan penting dalam setiap peringkat proses pembinaan,” ujar kenyataan.
Jelas kenyataan, tindakan tersebut menunjukkan dasar yang diperkenalkan tidak mengambil kira keperluan sebenar industri serta cabaran logistik yang unik di Sarawak.
“Diesel diperlukan untuk menjana bekalan elektrik melalui set penjana di tapak projek yang belum mempunyai bekalan elektrik tetap.
“Kita berpandangan had kuota diesel bersubsidi yang ditetapkan ketika ini perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan operasi sebenar sektor pembinaan,” jelas kenyataan
Menurut kenyataan, kos tambahan akibat pelaksanaan dasar berkenaan akhirnya akan ditanggung syarikat, pengguna dan pembeli rumah apabila ia dipindahkan kepada pasaran, sekali gus meningkatkan kos barangan serta kos sara hidup.
Sehubungan itu, SHEDA Institute menggesa Kerajaan Persekutuan memasukkan kenderaan yang digunakan dalam industri pembinaan ke dalam skim SKDS, meningkatkan kuota bulanan diesel bersubsidi, melaksanakan tempoh interim dengan mengekalkan kadar terdahulu sementara semakan dibuat, serta mengadakan libat urus lebih aktif dengan pemain industri di Sarawak bagi memastikan dasar yang diperkenalkan lebih selaras dengan keperluan di peringkat akar umbi.



