SHILA Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata beliau sedar akan cabaran menjadi seorang ibu dalam membesarkan anak-anak pada masa ini.
Hal ini kerana beliau bimbang jika isu semasa yang dibacanya berlaku dalam keluarganya sendiri.
“Tidak mudah untuk menjadi ibu bapa sekarang ini kerana isu berkaitan break the generational trauma (memutuskan kitaran trauma keluarga) dan Asian parenting (gaya keibubapaan masyarakat Asia) dibangkitkan.
Tambahan pula, saya mempunyai anak istimewa.
“Membaca isu berkenaan membuatkan kita berasa takut apabila perkara yang dibaca itu pernah berlaku dalam keluarga terdekat,” tulisnya dalam satu hantaran di laman Threads miliknya, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Selamanya Cinta nyanyian bersamasama Alif Satar itu turut memaklumkan ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk membuang perkara salah yang sekian lama dinormalisasikan dalam kalangan keluarga.
Menurutnya, perkara tersebut perlu dilakukan supaya anak-anak tidak terkesan dengan apa-apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Shila tidak menyatakan secara jelas isu yang menyebabkan dirinya berasa bimbang.
Dalam pada itu, beliau turut mengutarakan kerisauan terhadap isu sosial semasa serta keinginannya untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku di ruangan komen.
“Saya dan Ubai sangat terkesan dengan perkara yang berlaku kerana sedar akan kesannya.
“Tambahan pula, kami juga mempunyai masalah sosial lain yang perlu diambil kira,” luahnya lagi.
Shila juga berpendapat langkah pencegahan awal perlu bermula daripada anak-anak.






