Shimano 2019 julang nama Belawai

TANJUNG MANIS: Wartawan memohon maaf atas kesilapan jumlah pemancing menyahut cabaran memancing pantai Shimano di Pantai Belawai yang disiarkan Suara Sarawak, baru- baru ini.

Kesilapan itu semenangnya tidak disengajakan, terima kasih atas perhatian, teguran dan komen yang membina.
Realitinya, Shimano International Surfcasting Challenge Cup 2019 mendapat sambutan paling ramai dan terbesar pernah diadakan terutama di kawasan tengah Sarawak.

Secara keseluruhan pertandingan itu berjaya menarik penyertaan seramai 1,125 peserta dari seluruh Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei Darusalam dan Singapura.

Tawaran hadiah cukup lumayan dikatakan antara faktor tarikan utama peserta namun, sudah pasti kesan terbesar dirasai peniaga kecil sekitar Belawai kerana berpeluang meraih rezeki berlipat kali ganda berikutan kehadiran ramai pengunjung berbanding hari biasa.

Peserta, Awangku Hashim Pengiran Julaihi, 45, dari Brunei Darusallam mengakui, pantai Belawai mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu lagi pusat aktiviti memancing untuk kaki joran.

Katanya, demi minat dia bersama rakan-rakan sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman memancing di pantai itu.

Pantai Belawai menjadi tumpuan pengunjung sekaligus melonjakkan ekonomi peniaga kecil setempat. FOTO MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

“Memang atau kalah, itu tidak penting. Saya gembira datang ke Belawai sambil menikmati keindahan pantainya. Sehubungan itu, saya berharap penganjur akan terus menambahbaik mutu pertandingan ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, penganjur sentiasa menambahbaik mutu pertandingan memasuki yang berpusat di Pantai Belawai itu.

Sehubungan itu katanya, PPejabat Daerah Tanjung Manis dan Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang terus komited menjalinkan kerjasama dengan Shimano yang menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa tersebut.

“Sambutan meriah dan kejayaan besar acara ini memberi inspirasi kepada saya untuk menambah pengisian program pada masa akan datang bagi melonjak sektor pelancongan dan memperkasakan aktiviti ekonomi kepada penduduk setempat.

“Saya melihat penduduk begitu aktif mempromosikan produk masing-masing dan secara tidak langsung, ia merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Dalam pada itu, johan pertandingan menjadi milik anggota Polis, Mohd Rubaie Md Yusof sekaligus melayakkannya membawa pulang RM50,000. Tempat kedua dimenangi Mattew Chen Kok Khium, 55, dari Bintulu mendaratkan ikan senangin 4.78 kg manakala ketiga, Mohd Jamil Akbar Abu Bakar, 30, yang berasal dari Kuantan dengan pari 3.9 kg.

Mattew dan Mohd Jamil masing- masing membawa pulang RM7,500 dan RM3,000.
Pertandingan dianjurkan Shimano Singapura itu dikelolakan Kelab Memancing Sibu dengan kerjasama Pejabat Daerah Tanjung Manis dan Pusat Khidmat PBB N.41 Kuala Rajang.

Pengunjung bersantai bersama keluarga sambil menyaksikan pemancing.