KUCHING: Pertandingan Bakat Showtime berpotensi menjadi platform berterusan bagi mencungkil bakat seni tempatan susulan sambutan menggalakkan yang diterima daripada peserta dan orang ramai.
Penganjur, Juliana Ng berkata, penganjuran pertandingan itu didorong oleh hasrat untuk menyediakan ruang kepada individu berbakat di Sarawak menampilkan kebolehan mereka kepada khalayak.

Menurutnya, masih ramai individu berbakat yang tidak mempunyai peluang atau platform yang sesuai untuk mengetengahkan potensi masing-masing.
“Kami percaya setiap orang berhak diberi peluang untuk menyerlahkan bakat mereka dan itulah inspirasi utama di sebalik penganjuran Showtime,” katanya ketika ditemui pada pertandingan tersebut, Ahad.
Juliana berkata, antara cabaran terbesar sepanjang proses penganjuran ialah membuat persiapan yang mengambil masa berbulan-bulan selain menggalakkan orang ramai tampil mendaftar sebagai peserta.
Katanya, ramai individu sebenarnya mempunyai bakat, namun masih malu untuk tampil ke hadapan, sekali gus memerlukan usaha promosi yang lebih agresif menerusi media sosial dan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata, sambutan positif yang diterima memberi keyakinan kepada pihak penganjur untuk meneruskan pertandingan itu pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar.

“Kami mahu menjadikan Showtime lebih besar pada penganjuran akan datang. Malah, kami juga merancang untuk memperluaskan pertandingan ini ke luar Kuching dan berharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak supaya lebih ramai penggiat seni dapat terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, juri pertandingan, Randell Lim menyifatkan semua peserta mempamerkan komitmen tinggi dengan memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.
Menurutnya, pertandingan seperti itu berjaya menonjolkan ramai individu berbakat yang sebelum ini tidak pernah mempersembahkan kebolehan mereka di pentas terbuka.
“Ramai peserta memiliki bakat yang luar biasa, namun mereka tidak pernah menonjolkannya kepada orang lain. Pertandingan seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk menunjukkan kemampuan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, aspek utama yang dinilai oleh barisan juri ialah tahap keyakinan, persembahan pentas, karisma serta cara peserta menampilkan diri ketika membuat persembahan.
Randell turut berharap lebih banyak pertandingan seni seumpama itu dianjurkan di Kuching bagi memberi peluang kepada bakat baharu dalam pelbagai bidang termasuk nyanyian, tarian dan seni persembahan lain.
“Selagi ia berkaitan bidang seni, kami amat mengalu-alukan lebih banyak platform seperti ini kerana ia membuka ruang kepada orang ramai untuk menyerlahkan bakat yang mereka miliki,” katanya.
Seramai 12 penyanyi termasuk tiga kumpulan penari berjaya menempatkan diri ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada 25 Julai di The Stage Studio.






