ISU atau masalah kesihatan mental serta tekanan emosi antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting terutamanya selepas pandemik COVID-19.
Hal ini dibuktikan apabila masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat lima kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020.
Di samping itu, Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu pertiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan dengan masalah mental.
Pada tahun 2019 pula, KKM merekodkan sebanyak 2.3 peratus orang dewasa dan 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan tersebut akan terus meningkat.
Masalah kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri dengan terdapat 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes dilaporkan pada tahun 2020.
Jumlah kes bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus berbanding tahun 2020.
Masalah kesihatan mental kini turut menular kepada kanak-kanak.
Seorang daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental.
Kini KKM merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental.
Pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyatakan hampir satu bilion penduduk dunia mengalami masalah mental.
Kesannya, isu kesihatan mental menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial individu.
Bukan itu sahaja, isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat perlu dipandang serius berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara. Isu kesihatan mental yang kini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat merangkumi semua domain iaitu biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual.
Isu ini tidak boleh dipandang rendah dan usaha untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas perlu dilaksanakan secara serius.
Secara subjektifnya, kita sukar untuk mengenal pasti individu itu mengalami masalah mental atau tidak.
Malah, kita sendiri pun tidak tahu jika diri sendiri merupakan salah seorang pesakit mental.
Stigma terhadap isu kesihatan mental ini masih kuat dalam dalam masyarakat setempat kerana ia sering dikaitkan dengar ‘gila’.
Namun, di negara barat, isu kesihatan mental bukanlah suatu isu yang luar biasa, dan masyarakat di sana amat memberi perhatian kepada pesakit mental.
Gangguan penyakit mental ini berpunca daripada pelbagai keadaan sama ada dari luaran dan dalaman pesakit tetapi yang paling penting adalah kekuatan iman individu tersebut menangani masalah.
Semua orang ada masalah, maka semua orang juga berpotensi mengalami masalah mental.
Lakukan aktiviti yang sihat, kekal positif dan sentiasa bersemangat untuk mendapatkan mental yang sihat.



