
DEBAK: Agensi berkaitan perlu menyelesaikan projek tebatan banjir dengan segera bagi menamatkan sindrom hujan-banjir di beberapa perkampungan Melayu di Debak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku di Debak.
“Asal hujan, banjir. Kita bersimpati dengan penduduk di sini.
“Sebab itu saya mengharapkan agensi berkaitan dapat menyelesaikan projek tebatan banjir yang dirancang oleh Adun Saribas Mohammad Razi Sitam dengan segera,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Millenia dekat sini, hari ini.

Jelasnya, terdapat projek tebatan banjir dirancang dan akan dibina, namun ketika hendak dilaksanakan tempoh hari mengalami sedikit masalah.
Beliau mengakui berpuas hati dengan komitmen semua agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Bahagian kerana dapat bersama-sama menggembleng tenaga memastikan mangsa banjir dapat dibantu dengan sebaiknya.
“Saya gembira melihat semua agensi bersedia menghadapi situasi kecemasan dengan memberikan respons secara efisien untuk memastikan keselesaan mangsa di PPS,” ujarnya.



