KUCHING: Sibu dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Sarawak 2026 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Julai ini.
Pelbagai pengisian menarik dirancang sempena sambutan itu antaranya Pameran Hari Sarawak, Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Jalan Perpaduan, sesi dialog awam, program Zumba dan Konsert Rakyat yang dijangka menghimpunkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum dari seluruh Sarawak.
Jawatankuasa Sambutan Hari Sarawak 2026 yang diketuai Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini bagi menyampaikan jemputan rasmi ke sambutan berprestij tersebut.
Kunjungan tersebut bertujuan memberikan taklimat kepada beliau mengenai perkembangan persiapan serta pengisian program sepanjang tiga hari sambutan.
Abang Johari menyambut baik persiapan yang sedang giat dilaksanakan dan berharap sambutan itu menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Beliau turut berharap sambutan berkenaan dapat meningkatkan penghargaan rakyat terhadap sejarah, warisan serta aspirasi pembangunan Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.


