BAU: Sebanyak 35 kertas siasatan kes dadah dibawa ke Sidang Litar Mahkamah Majistret semalam melibatkan individu didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan pelbagai hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd. Haide A. Rahman, daripada jumlah itu, seramai 26 individu dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang berkaitan dengan pemilikan dan pengedaran dadah.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM4,000 kepada mereka yang mengaku bersalah.
“Bagi individu yang gagal menjelaskan denda, hukuman penjara antara enam hingga 12 bulan dikenakan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Haide berkata, mereka turut dikenakan pengawasan tambahan selama tiga tahun sebagai langkah pemulihan dan pencegahan.
Katanya lagi, terdapat beberapa individu yang menghadapi tiga pertuduhan di bawah seksyen yang sama, menunjukkan keterlibatan berulang dalam kesalahan berkaitan dadah.
“Sembilan individu lain mengaku bersalah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang melibatkan pengedaran dadah dan membawa hukuman lebih tinggi.
“Mahkamah menjatuhkan denda antara RM2,900 hingga RM7,800, manakala bagi mereka yang gagal membayar, hukuman penjara antara enam hingga 13 bulan dikenakan.
“Beberapa individu berdepan dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pihak polis komited menegakkan undang-undang dadah dan berharap hukuman yang dijatuhkan dapat memberi pengajaran kepada individu terlibat, selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan dan memastikan generasi muda tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, sidang litar bagi bulan ini berlangsung pada minggu keempat dan dijalankan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, dengan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fauzulutfi Suriani.



