KUCHING: Sarawak menegaskan komitmennya untuk menampilkan warisan kaya dan kepelbagaian budayanya melalui penganjuran Festival Antarabangsa Muzik dan Seni Sarawak (SIFMA).
Pengerusinya SIFMA, Dr. Geraldine Law-Lee berkata SIFMA kini menjadi antara platform budaya antarabangsa paling signifikan di rantau ini.
Festival itu jelasnya berjaya membuka ruang luas untuk Sarawak mempamerkan identiti budayanya yang unik kepada masyarakat antarabangsa.
“Warisan Sarawak yang kaya serta kepelbagaian budayanya sudah bersedia untuk diketengahkan dan diraikan.
Industri pelancongan kami bekerjasama dengan penuh semangat bersama SIFMA, bersedia menyambut kedatangan dunia dan mempersembahkan keunikan khazanah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perutusannya sempena Konsert Gala SIFMA 2025 di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Sabtu.
Menurutnya SIFMA bukan sekadar pentas persembahan, sebaliknya sebuah usaha merapatkan hubungan budaya antara negara melalui pertukaran seni, promosi antarabangsa serta kerjasama media.
“Festival ini adalah sebuah persembahan istimewa yang dibawa terus ke halaman kita, memberi peluang kepada rakyat kita sendiri untuk terlibat.
“Meraih manfaat, dan dengan bangga mempersembahkan yang terbaik daripada seni Sarawak kepada penonton global,” tambahnya.
Menurutnya, Sarawak kini berada di landasan tepat untuk berkembang sebagai lokasi festival dan pentas konsert antarabangsa.
Ia dengan matlamat kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pelancongan berasaskan budaya.
SIFMA, yang menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara, dijangka menarik minat lebih ramai penggiat seni dan pelancong pada edisi seterusnya.
Ini sekali gus melonjakkan profil Sarawak sebagai pusat seni yang dinamik dan bertaraf dunia.
Konsert Gala SIFMA 2025 berlangsung dua hari dari 6 dan 7 Disember yang menampilkan karya kreatif serta seni persembahan tempatan dan antarabangsa. — TVS





