PENANTIAN selama lebih setahun untuk memegang Sijil Halal bukannya satu tempoh yang singkat, namun bagi pemilik Restoran iCafe Sarawak Chinese Muslim Seafood Restaurant, Muhammad Lukas Lim Abdullah, setiap detik penantian itu sarat dengan proses pembelajaran dan disiplin kendiri.
Proses mendapatkan pengesahan rasmi tersebut memberikan pelbagai cabaran tersendiri kepada pihak pengurusan, terutamanya dalam memastikan setiap aspek operasi menepati standard ketat yang ditetapkan.
Muhammad Lukas memberitahu, komitmen terhadap kebersihan, kualiti dan kepatuhan prosedur pengendalian standard (SOP) menjadi teras utama dalam memastikan pensijilan halal yang diterima bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya tanggungjawab berterusan.
“Antara cabaran utama adalah memastikan setiap SOP dipatuhi, merangkumi aspek kebersihan diri pekerja seperti pakaian dan kuku yang kemas, serta memastikan persekitaran dapur sentiasa bersih.
“Malah, penyimpanan bahan mentah juga perlu diurus dengan rapi dan dibalut dengan betul. Pengurusan dokumen sahaja tidak cukup sekiranya amalan di dapur tidak seiring,” katanya.
Beliau menambah, biarpun iCafe sudah beroperasi secara patuh halal sejak dua hingga tiga tahun lalu, pemilikan sijil rasmi tersebut memberikan rasa lebih bersyukur dan lega selepas penantian yang panjang.
Sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi kriteria ketat pensijilan tersebut, iCafe turut membuat perubahan terhadapa rantaian bekalan bahan mentah mereka.
“Kami kini berbalik menggunakan bekalan daging import Australian Beef serta bahan ayam daripada pembekal patuh halal berdaftar iaitu CCK bagi menjamin kualiti hidangan,” tambahnya.
Langkah penambahbaikan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan setempat, malah membuka ruang lebih luas untuk menarik perhatian pelancong dari luar Sarawak.
“Pelanggan dari luar selalunya ragu-ragu untuk makan jika tiada penanda atau sijil halal sah. Dengan status halal rasmi ini, kami yakin ia dapat menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati hidangan di sini tanpa rasa waswas,” ujarnya.
Bagi memastikan mutu perkhidmatan dan kebersihan dapur sentiasa berada pada tahap terbaik pula, iCafe mengambil tenaga kerja yang terdiri daripada anak tempatan serta pekerja warga Indonesia yang mempunyai permit kerja sah.
Kejayaan memperoleh sijil halal ini turut menyuntik semangat baharu buat pengurusan iCafe untuk terus berkembang.
Beliau menyasarkan untuk membuka premis sendiri dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi menampung kapasiti pelanggan yang semakin meningkat.
Mengenai sajian yang ditawarkan, restoran berkenaan terus menjadi tumpuan peminat makanan laut ala Cina tempatan.
“Restoran iCafe cukup terkenal dengan hidangan utama ikan asam nyonya yang menggugah selera resipi warisan keluarga itu ibu saya, Siti Khadijah Sim Abdullah @Sim Su Tiang.
“Sajian popular lain pula seperti ketam telur masin, 4-Type Beans, ayam butter, ayam kampuung dan bihun cangkok manis,” ujarnya.
Menyifatkan pensijilan tersebut sebagai satu amanah dan dorongan untuk terus mengekalkan kualiti, Muhammad Lukas berpegang teguh kepada slogan ‘Makanan Enak, Bersama Keberkatan’.
Kemuncak kepada penantian dan usaha gigih pihak pengurusan akhirnya terbukti apabila iCafe secara rasminya menerima Sijil Halal menerusi Majlis Doa Selamat dan Simbolik Penyerahan Sijil Halal yang diadakan di premisnya.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Jamaludin Taim. Hadir sama ADUN Kalaka Mohamad Duri.
KUMPULAN sensasi Korea Selatan, BTS, sekali lagi membuktikan pengaruh luar biasa mereka dalam industri muzik antarabangsa apabila berjaya menamatkan siri konsert BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’ di Amerika Utara dengan pencapaian membanggakan.
Siri jelajah berskala besar itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1.92 juta peminat menerusi 31 konsert yang berlangsung di 12 lokasi berbeza, dengan kesemua tiket dilaporkan habis terjual dalam tempoh singkat.
Kemuncak jelajah berkenaan berlangsung di Stadium SoFi, California, apabila lebih 282,000 penonton membanjiri lokasi tersebut sepanjang empat hari penganjuran konsert.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan BTS sebagai antara artis yang mencatat jumlah persembahan dan kehadiran penonton terbesar dalam sejarah stadium berkenaan.
Konsert tersebut turut menyaksikan detik penuh emosi apabila ribuan peminat menyanyikan lagu ulang tahun kelahiran secara serentak buat dua anggota BTS, Jungkook dan RM.
Fenomena BTS bukan sahaja dirasai di dalam stadium, malah turut mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan.
Pentadbiran Bandar Raya Los Angeles bersama Lembaga Pelancongan dan Konvensyen Los Angeles mengisytiharkan tempoh 1 hingga 8 September sebagai “BTS Week” bagi meraikan kehadiran kumpulan berkenaan.
Penghargaan serupa turut diberikan di Kanada apabila jalan utama di Toronto dinamakan sementara sebagai BTS Boulevard.
Selepas menamatkan jelajah di Amerika Utara, BTS dijadualkan meneruskan siri konsert mereka ke Amerika Selatan bermula di Bogota, Colombia pada 2 Oktober depan.
Jelajah berkenaan dijangka diteruskan ke beberapa negara lain termasuk Peru, Chile, Argentina dan Brazil, sekali gus menandakan kemunculan penuh kesemua anggota BTS di rantau tersebut.



