ARTIKEL

Sik berasa, ketek ajak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PERTAMA kali bersalam dengan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika penulis berusia 12 tahun.

Ketika itu, penulis naik ke pentas astaka untuk menerima piala pusingan setelah diumum sebagai johan tilawah al-Quran usia 12 tahun ke bawah Kampung Semerah Padi.

Penulis berbaju Melayu berwarna merah, Abang Johari kalau tidak silap penulis berbaju Melayu berwarna hitam.

Itu pertemuan pertama yang saya tidak tahu beliau ialah menteri.

Pada usia bersekolah di tahun enam, penulis tidak berapa tahu siapa menteri dan siapa yang berhormat kawasan.

Abang Johari mengucapkan tahniah atas kemenangan penulis.

“Tahniah! Semoga terus berjaya.”

Antara kata-kata ucapan beliau yang masih penulis ingat.

Yang lain-lain kurang penulis ingat sebab pertama terkejut dengan kemenangan.

Kedua, takut untuk berada di atas astaka untuk menerima hadiah. Sebab penulis agak pemalu.

Namun penulis agak kecewa sebab tidak dapat mempertahankan piala pusingan untuk kekal berada di rumah penulis apabila hanya menang naib johan dalam pertandingan dua tahun berikutnya.

Penulis tewas kepada rakan seperguruan mengaji al-Quran. Usianya dua tahun lebih tua daripada penulis.

Hanya itu yang saya kenal tentang Abang Johari ketika itu.

Dan, setelah mencuba nasib dan rezeki dalam dunia surat khabar, penulis mula mengenali beliau.

Mula bekerja sebagai pemberita kadet pada suku keempat tahun 1997, banyak kali juga membuat liputan media majlis yang dihadiri dan dirasmikan oleh Abang Johari.

“Maknanya…” Antara kata-kata beliau dalam ucapannya.

“Adik kakak sekalian…” Satu kata-kata Abang Johari ketika berucap di depan rakyat.

Perkataan “maknanya” sudah menjadi biasa bagi Abang Johari. Kadang-kadang pemberita sudah dapat mengagak bila beliau akan menggunakan perkataan ini.

Namun tanpa penulis sangka, Yang Berhormat yang pernah penulis salam dan mengucapkan tahniah kepada penulis pada tahun 1988 bakal Ketua Menteri Sarawak.

Sebab itu, apabila Abang Johari diumum dan mengangkat sumpa jawatan Ketua Menteri pada tarikh hari ini (13 Januari) tujuh tahun lalu, penulis teringat dengan pertemuan pertama dengannya. Penulis bukan penganalis politik tetapi harus tahu serba sedikit perjalanan politik Sarawak.

Sebab pemberita harus menjadi ‘orang’ politik, polis, bomba, pegawai kebajikan, saintis, ahli arkelogi dan banyak lagi untuk memudahkan pemahaman tentang sesuatu isu.

Sebab itu juga, kali pertama melangkah ke pejabat surat khabar pada 1 Ogos 1997, penulis ‘diarah’ untuk membaca semua jenis akhbar dari muka depan hingga ke halaman terakhir.

Dan, sebelum keluar pejabat untuk ke lokasi majlis untuk liputan media, baca berita tentang isu-isu yang mungkin boleh ditanya kembali kepada menteri yang hadir.

Melalui pemerhatian dan pembacaan buku atau surat khabar berkaitan isu politik, penulis lihat Abang Johari sebagai seorang yang sangat sabar. Ini cuma pemerhatian penulis.

Macam-macam dugaan pernah beliau hadap sebelum diangkat sebagai Ketua Menteri.

Beliau juga dianggap sebagai menteri yang diberikan tugas memimpin kementerian yang agak mencabar.

Sumber politik pernah berbual kosong dengan penulis lama dahulu: “Abang Jo sepatutnya menerajui kementerian itu, bukan kementerian ini.”

Tetapi sumber tadi yakin tugasan (menerajui pelbagai kementerian) ini akan mematangkan Abang Jo dalam perjalanan politiknya untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Ini akan membantu Abang Jo setelah mendapat pendedahan awal dan langsung daripada Tun Openg, ayahanda beliau,” jelas sumber itu lagi.

Membaca sumber lain, Abang Jo memang terdidik dengan dunia politik sejak kecil, sebelum, semasa dan selepas ayahanda beliau dilantik sebagai Gabenor pertama Sarawak pada 16 September 1963.

Abang Jo dapat melihat sendiri dan secara langsung belajar tentang corak pentadbiran kerajaan negeri ini sejak kecil lagi.

Semua ini membantu beliau mentadbir Sarawak yang dihuni lebih 2.8 juta jiwa ini untuk bergerak menjadi wilayah berpendapatan tinggi dan maju pada 2030 — hanya beberapa tahun dari sekarang.

Dengan begitu banyak inisiatif, beliau begitu mengutamakan pembangunan untuk bandar dan luar bandar.

Bagi orang lain, beliau dilihat begitu agresif dalam aspek membangunkan negeri ini.

Hanya dalam tujuh tahun, Abang Jo memperkenalkan banyak inisiatif yang amat-amat diperlukan rakyat.

Kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) — sesuatu yang baharu di Sarawak.

Dan lebih baharu, sistem pengangkutan ini menuju ke luar bandar.

Kalau di bandar-bandar utama di negara ini, fokus utama adalah pengangkutan di bandar, Abang Jo pula turut fokus terhadap perhubungan bandar ke luar bandar.

Perjalanan pertama ART berkuasa hidrogen adalah ke Kota Samarahan.

Dari Kuching ke Rembus, bukannya sekitar bandar raya Kuching.

Ini bagi mengatasi kesesakan teruk perjalanan dari Samarahan ke Kuching dan sebaliknya. Bermakna, ini antara kemudahan moden untuk orang kampung.

Orang kampung yang pertama dan yang akan banyak kali menggunakan kemudahan moden ini untuk bergerak ke bandar raya Kuching

.Sesuatu yang mungkin tidak terbayang sebelum ini.

Dan perancangan seterusnya akan melului kawasan bandar.

Ini seperti impian terlaksana rakyat negeri ini yang inginkan perkhidmatan moden seperti Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdapat di Kuala Lumpur.

Itu pun hanya dibayangkan di Kuching.

Kini, Abang Jo cukup popular dengan dua frasa Melayu Sarawak iaitu “ketek ajak” (klik sahaja) dan “sik berasa” (tidak berasa).

“Baruk ari marek ari Jemat, ari tok dah Jemat agik… sik berasa” sering diungkapkan oleh Abang Jo dalam majlis yang dihadirinya.

Sejak itu frasa ‘sik berasa’ menjadi tular di media sosial.

Apa-apa yang penulis tulis ini hanyalah sedikit perkongsian tentang Premier Sarawak ini.

Banyak lagi keistimewaan Abang Jo yang tidak cukup untuk dikongsikan di sini.

Tempoh 40 tahun dalam politik, adalah tempoh yang amat panjang untuk ditulis.

Mujur ada buku ditulis khas tentang Abang Jo. Antaranya buku berjudul “Perjalanan Politik Abang Johari Premier Sarawak”, setebal 496 muka yang ditulis oleh penulis biografi prolifik Profesor Dr Roosfa Hashim.

Buku ini sarat dengan kisah yang memfokuskan liku-liku perjalanan kerjaya Abang Johari dalam dunia politik.

Satu petikan dalam buku ini: Di Semenanjung Malaysia, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

Hari ini ialah sambutan ulang tahun ketujuh Abang Jo sebagai Premier Sarawak.

Tiada apa yang dapat diberikan, cuma ucapan terima kasih.

LAIN-LAIN BERITA

Tidak ada duit ketika jadi ahli parlimen

MENJADI ahli parlimen pada usia 26 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan bagi dirinya. Sejak di universiti memang beliau memasang impian untuk memasuki politik, namun beliau

Cara indah hargai orang

KETIKA lepak santai-santai sambil minum teh panas di sebuah kedai makan, perbualan kami lepasan sekolah menengah di Kuching rancak tentang kejadian banjir kilat melanda Kuching,

Sarawak dahului inisiatif tenaga hijau

DALAM usaha untuk mengejar kelestarian alam dan kemajuan ekonomi, inisiatif tenaga hijau telah menjadi fokus utama bagi banyak negara. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk

Impak medsos dalam Pilpres 2024

PASANGAN Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka terus unggul dalam kiraan sebenar (real count) bagi keputusan Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). Menurut media

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

BERITA TERBARU

Kuarters lama JKR terbakar

SIMANGGANG: Sebuah kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak berpenghuni terbakar awal pagi tadi. Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais