KUCHING: Sebanyak 80.6 peratus faktor utama nahas jalan raya berlaku adalah berpunca daripada sikap manusia, kata Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.
Beliau berkata statistic itu adalah hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) 2011 dengan peratusan faktor keadaan jalan hanya menyumbang sekitar 13.2 peratus.
‘’Saya percaya, peratusan faktor akibat keadaan jalan dapat dikurangkan susulan Lebuhraya Pan Borneo kini dalam keadaan baik setelah pelbagai projek naik taraf serta pembinaan giat dilaksanakan.
‘’Sementara, faktor seterusnya adalah berpunca daripada keadaan teknikal kenderaan yang digunakan iaitu sebanyak 6,6 peratus,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di Terminal Bus Kuching Sentral di sini, semalam.
Berhubung program itu, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak terbabit berkata, ia diadakan bersempena TBC 2024 bagi memastikan dan memaksimumkan pematuhan piawaian teknikal serta keselamatan kenderaan.
Pada masa sama, ia juga sebagai usaha untuk mendidik pemandu dan pengguna kenderaan supaya pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa diamalkan terutama ketika musim perayaan.
‘‘Selain pemeriksaan kenderaan dijalankan terutama melibatkan pengangkutan awam, JPJ turut melakukan ujian saringan air kencing kepada pemandu-pemandu bas bagi menggurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
‘’Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan agar memandu dengan berhemah dan patuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengurangkan berlakunya kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan serta kematian,’’ jelasnya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Noraini Mohd Nawi serta Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau.



