ARTIKEL

Silinder Ammonia Tidak Ditutup Sempurna Cetus Kebocoran Di Kilang Ais

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Silinder gas ammonia berkapasiti 400 liter yang dipercayai tidak ditutup dengan sempurna mengakibatkan kebocoran gas dan tumpahan bahan kimia di sebuah kilang pembuatan ais di Kawasan Perindustrian Menglembu di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata kebocoran berpunca daripada sebuah silinder gas ammonia berkapasiti 400 liter yang tidak ditutup hingga menyebabkan pelepasan tekanan gas tidak dapat dikawal serta berlaku tumpahan kira-kira tujuh liter ammonia.

“Hasil pemantauan awal mendapati bacaan kepekatan gas ammonia di bahagian dalam kilang mencecah 300 bahagian sejuta (ppm) manakala bacaan di luar premis ialah 100 ppm. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata dua anggota HAZMAT yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian memasuki kawasan berisiko bagi menutup injap pada silinder gas berkenaan, sekali gus menghentikan pelepasan gas.

Beliau berkata pasukan tersebut turut menjalankan kerja mengawal tumpahan menggunakan bahan penyerap kimia sebelum mengutip sisa bahan berbahaya itu untuk dimasukkan ke dalam salvage drum bagi tujuan pelupusan secara selamat.

“Susulan tindakan itu, bacaan kepekatan gas di dalam kilang menurun kepada 250 ppm manakala bacaan di luar premis tidak lagi dikesan oleh peralatan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata operasi pemantauan dan kerja mengawal tumpahan diteruskan bagi memastikan kawasan premis benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan.

Sementara itu, Sabarodzi berkata pasukan HAZMAT turut menjalankan pemeriksaan lanjut dengan mengambil bacaan kandungan gas ammonia menggunakan sampling pump dan GFG detectors, selain melaksanakan kerja-kerja pengudaraan bagi mempercepatkan penyuraian gas.

“Selepas kerja mengawal tumpahan dan pengudaraan selesai, bacaan gas ammonia berjaya dikurangkan kepada 40 ppm, iaitu di bawah had Time Weighted Average (TWA) yang ditetapkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sebanyak 50 ppm,” katanya.

Beliau berkata operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.50 tengah hari dan ditamatkan pada 3.09 petang selepas pasukan bomba mengesahkan kawasan berkenaan selamat.

“Kilang itu juga dibenarkan kembali beroperasi selepas pemeriksaan mendapati bacaan gas berada pada tahap selamat,” katanya.

— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU