KUCHING: Bandar Simanggang di Sri Aman dipilih menjadi tuan rumah Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020 pada 31 Ogos ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tema sambutan ialah “Malaysia Prihatin” yang mengajak rakyat Malaysia menanam semangat kenegaraan yang tinggi dalam diri masing-masing.
“Detik bersejarah ini disambut setiap tahun untuk memperingati perjuangan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.
“Pada 31 Ogos 1957, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, menandakan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020, di sini semalam.
Menurutnya, pada acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyertai 250 peserta berarak mengelilingi Bandar Simanggang sejauh 1.5 kilometer.
Selain itu, Abdul Karim menambah, dalam usaha menanam semangat cinta akan negara, alunan lagu patriotik akan dipersembahkan oleh penyanyi tempatan Sarawak.
Antara lagu yang dipersembahkan ialah Inilah Barisan Kita, Bahtera Merdeka, Warisan, Tanggal 31 Ogos, Setia dan Negaraku (versi Faizal Tahir), jelasnya.
Pada masa sama katanya, Malam Mesra Sempena Ambang Sambutan Hari Kebangsaan 2020 akan diadakan di Hotel Sri Simanggang.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pada malam tersebut, Ketua Menteri akan beramah mesra dengan ketua masyarakat sekitar Sri Aman.
Sambutan tahun ini jelasnya lagi akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Semua peserta yang menghadiri program tersebut akan membuat saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya.
“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memutuskan rantaian penularan wabak ini,” katanya.
Sehubungan itu ujarnya, bagi menghargai usaha serta pengorbanan petugas barisan hadapan dan kerajaan dalam memerangi Covid-19, video khas berjudul WIRA akan diterbitkan.
“WIRA mengisahkan kehidupan, pengorbanan dan kekuatan hati yang kental petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan.



