MENANG kalah adalah adat demokrasi. Yang kalah pun ada jawatan dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Itu jaminan yang diberikan Premier Sarawak yang juga Yang Dipertua PBB, Tan Sri Abang Johari Tun Openg petang semalam, ketika ditanya media berhubung keputusan pemilihan Naib Presiden parti itu, yang menyaksikan dua penyandang Naib Yang Dipertuanya tumbang.

Dalam keputusan yang diumumkan pada pagi Ahad, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi tersingkir daripada saingan.
Empat Naib Presiden PBB Sayap Bumiputera sesi 2025- 2027 ialah Datuk Ibrahim Baki, Datuk Seri Julaihi Narawi dan Datuk Len Talif Salleh.
Abang Johari menegaskan, adalah kuasa pregrogatif beliau untuk menentukan siapa yang layak berada dalam kabinet.
“Dalam perjuangan PBB, tidak (ada) menang semua tidak (ada) kalah semua.
“Yang kalah bertanding pun masih lagi sepasukan untuk berjuang dalam PBB.
“Prerogatif saya sebagai Premier… there is no reshuffle.
Nothing to do with reshuffling. It will go on as usual,” tegasnya.
Penjelasan Abang Johari ini seharusnya memadamkan sangkaan banyak pihak, bahawa kekalahan Abdul Karim sebagai calon heavyweight akan menenggelamkan karier politiknya.
Beliau terlebih dahulu menyerahkan nasibnya kepada Premier, dan menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka, lambang kejujuran dan hormat akan keputusan akar umbi.
Pun begitu kekalahan Abdul Karim sebenarnya adalah antara onak duri dalam politik.
Tun Abdul Yakub, Tun Abdul Taib Mahmud dan Tan Sri Adenan Satem pernah melaluinya.
Tun Abdul Taib malah pernah dipecat dan meletakkan jawatan membayangkan ia cabaran biasa bagi ahli politik matang. Justeru tindakan yang diambil Abang Johari juga cukup bijak, kerana tidak mudah untuk membentuk seorang pemimpin seberani dan setegas Abdul Karim.
Mungkin kekalahan ini adalah manifestasi ketegasannya dalam beberapa isu sebelum ini.
Bagi Naib-Naib Yang Dipertua yang memenangi saingan, semuanya sepakat bahawa parti perlu bersatu semula, elakkan perpecahan kerana pertandingan ini adalah saingan dalam kalangan ahli keluarga.
Bagi Ibrahim, beliau mahu membantu memastikan PBB relevan sepanjang zaman.
Pengalamannya sebagai peguam dan ahli korporat diyakini akan melengkapi usaha ini untuk melengkapi perjuangan parti PBB.
“Saya juga mendukung kepimpinan parti khususnya Yang Dipertua untuk memastikan PBB bukan hanya relevan sepanjang zaman, tetapi kuat dan berpadu.
Kata Ibrahim lagi, penyertaan beliau sebagai Naib Yang Dipertua bertujuan untuk melakukan perubahan dan mencetuskan pembaharuan kepada parti, bersama-sama semua ahli parti.
Katanya lagi, dengan kepelbagaian kepakaran dan pengalaman Naib Yang Dipertua yang ada, ia akan memperkuatkan parti PBB sebagai parti akar umbi.
“Kita mesti melaksanakan kemahuan rakyat, keinginan rakyat dan sentiasa menyampaikan kemahuan rakyat. Ini merupakan pasukan yang komprehensif yang diketuai oleh Premier Sarawak.
Bagi Julaihi, peranan sebagai Naib Yang Dipertua ini merupakan satu amanah dan kepercayaan yang perlu digalas sebaik mungkin.
Katanya, kemenangan beliau merupakan manifestasi kepercayaan yang diberi oleh ahli-ahli PBB dari seluruh Sarawak, yang melambangkan suara rakyat, khususnya dari luar bandar.
“Sebab saya berasal dari luar bandar, saya lahir di luar bandar, dibesarkan di luar bandar, dan mewakili kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi di kawasan pesisir.
“Jadi, insya-Allah, saya akan menjalankan tugas seperti yang diharap-harapkan, lebihlebih lagi tanggungjawab saya di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
Tegasnya, pertandingan yang berlangsung dalam PBB merupakan langkah untuk menjadikan amalan demokrasi itu tetap subur dan hidup segar dalam parti.
Sementara itu, Datuk Len Talif Saleh berkata, sebagai Naib Yang Dipertua parti yang telah menjangkau umur 70 tahun , beliau berperanan membimbing golongan muda, sebelum menyerah kuasa kepada mereka.
“Ini untuk memastikan parti ini terus relevan dan transisi kuasa berlaku secara teratur,” ujarnya.
Seperti kata Abang Johari, siapa pun yang memenangi saingan kali ini, mereka tidak menang semua.
Yang kalah pun tidak kalah semua.
Sebaliknya ia menjadi ujian kepada semua penyandang bahawa mereka dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin, atau mereka tidak akan terlibat dalam transisi kuasa Sarawak yang dijangka selepas pemilihan parti yang akan datang.
Tahniah kepada yang menang termasuk 30 ahli majlis tertinggi, yang menggabungkan muka lama dan baharu, termasuk timbalan menteri, Senator, Setiausaha Politik dan pemimpin biasa.
Naratif demokrasi yang dipancarkan ini memberi keyakinan, bahawa proses peremajaan terus subur bagi memastikan parti ini tidak terjerat dalam kelunturan kepercayaan.



