KUCHING: Dua wanita penjaga premis kedai dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret kerana memiliki barang yang diperoleh secara menyalahi undang-undang iaitu lebih 1,700 kotak minuman keras dan 720,200 batang rokok tanpa cukai.
Elyvia Derang Engkamat, 32, dan Liana Lucia Peter, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak di hadapan Majistret Syarifah Ling Hui Chuan.
Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa memiliki barang-barang tersebut di sebuah premis di RH Park, Batu 9, sekitar jam 9.45 pagi pada 3 Januari lepas.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang menjalankan serbuan sempena Op Taring Alpha telah membuat pemeriksaan di sebuah premis lalu memperkenalkan diri kepada dua wanita yang disyaki penjaga kedai berkenaan.
Kedua-dua tertuduh disyaki menyimpan dan menjual rokok serta minuman keras pelbagai jenis dan jenama tanpa cukai.
Antara barang yang dirampas ialah 1,709 kotak bir, 170 kotak arak, minuman keras pelbagai jenis (279 tin, 236 botol dan 13 kotak), dan rokok pelbagai jenis sebanyak 720,200 batang.
Hasil siasatan mendedahkan bahawa premis tersebut menyimpan minuman keras dan rokok tanpa cukai.
Selain itu, kedua-dua tertuduh gagal menunjukkan sebarang dokumen pemilikan yang sah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.



