BETONG: Perahu Sinaran Burung Garuda bernombor plat 83 muncul sebagai Raja Sungai Regata Mangut selepas menjuarai acara kemuncak Kayuhan Akhir Bidar 30 sempena Pesta Buntal (PUFFEST) 2026 di Kampung Mangut, di sini, hari ini.
Jentera milik Nusi Jemali itu membuktikan keunggulannya apabila mendominasi perlumbaan dan meninggalkan pencabar lain jauh di belakang sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara.
Kejayaan itu melayakkan Sinaran Burung Garuda membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala kejuaraan.
Tempat kedua menjadi milik perahu Barracuda dari Kampung Kalok bernombor plat 96 yang dikendalikan anak buah KK Ridzuan Azmi, sekali gus menerima hadiah RM7,000 berserta piala.
Sementara itu, Todak Berjaya dari Saratok menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM5,000, manakala Puteri Dang Esah Tandang Sari menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan menerima hadiah RM2,000.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh.
Bagi acara lain, Todak Berjaya muncul juara bagi Kayuhan Akhir Bidar 25, manakala Barracuda mengungguli saingan akhir Bidar 20.
Dalam kategori Bidar 15, kejuaraan menjadi milik Sinaran Burung Garuda, sementara Nur Gemilang Lanun menjuarai acara Bidar 10.
Dengan berakhirnya acara ke-18 iaitu Kayuhan Akhir Bidar 30, tirai Regata Mangut 2026 dilabuhkan secara rasmi selepas berlangsung meriah selama tiga hari sejak Jumaat lalu.
Penganjuran regata itu sekali lagi berjaya menghimpunkan komuniti setempat serta peminat sukan air dari pelbagai kawasan, sekali gus mengekalkan tradisinya sebagai antara acara yang dinanti-nantikan dalam kalendar pelancongan dan kebudayaan Bahagian Betong.



