MANILA: Pihak berkuasa Filipina berjaya menahan lebih 200 pekerja asing yang kebanyakannya warga China, dalam operasi pemberantasan terbesar terhadap pengendali perjudian dalam talian haram di negara itu pada tahun ini, menurut Biro Imigresen.
Manila telah mengharamkan pengendali perjudian dalam talian Filipina, yang dikenali sebagai POGO pada tahun 2024, atas alasan kumpulan jenayah terancang ini menggunakannya sebagai topeng untuk aktiviti perdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan serta pembunuhan.
Menurut kenyataan Biro Imigresen yang dikeluarkan lewat Sabtu, pihak tentera bersama agensi penguatkuasaan lain telah menyerbu dua lokasi di wilayah selatan Mindanao pada Jumaat.
Serbuan itu menyaksikan penahanan 110 warga China, dua warga Kemboja dan seorang warga Hong Kong di lokasi pertama.
Dalam serbuan berasingan di lokasi kedua, seramai 131 warga asing turut ditahan, iaitu sebahagian besarnya merupakan warga China selain beberapa warganegara dari Malaysia, Indonesia dan Myanmar.
Biro tersebut menyatakan bahawa sejumlah besar peralatan komputer, telefon bimbit, komputer riba dan kad SIM turut dirampas.
Kerajaan Filipina juga sedang menyiasat kemungkinan kesalahan berkaitan pemerdagangan manusia oleh sebahagian daripada mereka yang ditahan, manakala selebihnya akan dihantar pulang.
“Kami akan terus menguatkuasakan undang-undang imigresen kami terhadap warga asing yang melanggar syarat tinggal di negara ini dan memastikan Filipina tidak digunakan sebagai pangkalan untuk aktiviti haram,” kata Ketua Imigresen, Joel Viado, dalam kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, operasi tersebut merupakan serbuan POGO terbesar yang direkodkan sepanjang 2026.
Pihak Kedutaan China di Manila bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas segera apabila dihubungi untuk mendapatkan ulasan.-AFP



