ARTIKEL

Gambar Hiasan Foto: Bernama

Sindrom terlupa anak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kes seorang bayi dipercayai anak kepada seorang doktor meninggal dunia selepas mangsa tertinggal lebih tujuh jam di dalam kereta di parkir sebuah hospital di Semenanjung Malaysia.

Menurut laporan akhbar nasional, bayi perempuan berusia lapan bulan itu berada di dalam kereta seorang diri dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang.

Kes ini bukan pertama kali berlaku di Malaysia. Pada Februari 2020 seorang bayi berusia sembilan bulan maut selepas bapanya terlupa bahawa anaknya berada di dalam kenderaan semasa keluar bekerja di Kompleks Tun Razak.

Lebih menyedihkan, mangsa sepatutnya dihantar ke taska selepas menghantar isteri ke tempat kerja, namun bapanya terlupa untuk berbuat demikian.

Pada Jun 2019, seorang kanakkanak perempuan juga ditemui maut terbaring di belakang kereta dengan kesan melecur dan mulut berbuih di Lahad Datu, Sabah.

Mangsa yang berusia dua tahun itu dilaporkan tertinggal di dalam kereta ibunya sekitar tiga jam.

Pada September 2016 pula, bayi perempuan berusia satu tahun di Kulai turut maut selepas ditinggalkan lebih lima jam di dalam kereta oleh bapanya.

Menurut laporan, ibu mangsa meletakkan mangsa di tempat duduk bahagian belakang untuk dihantar ke rumah pengasuh sekitar jam 9.30 pagi.

Namun bapa mangsa memandu kereta dari rumah ke tempat kerjanya tanpa menyedari anaknya masih berada di tempat duduk belakang.

Jumlah kes kanak-kanak maut akibat ditinggalkan di dalam kereta dilihat semakin meningkat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain.

Pada 2022, Amerika Syarikat (AS) mencatat sekurang-kurangnya 33 kanak-kanak mati akibat hipertermia selepas terperangkap di dalam kenderaan yang terlalu panas.

Setakat ini, 27 kematian dilaporkan dan secara purata 38 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun mati setiap tahun akibat strok haba selepas ditinggalkan di dalam kenderaan.

Hampir setiap negeri di AS mengalami sekurang-kurangnya satu kematian sejak 1998.

Pada 2018 dan 2019, seramai 53 kanak-kanak maut selepas ditinggalkan di dalam kenderaan panas berdasarkan data Jabatan Meteorologi dan Sains Iklim, San Jose State University.

Ia menjadi tahun paling dahsyat di negara itu dalam tempoh 20 tahun lalu, menurut Majlis Keselamatan Negara AS.

Jika kita lihat, terlalu banyak kes berlaku akibat ibu bapa terlupa atau mengandaikan anak mereka sudah keluar dari kenderaan.

Ini dinamakan sebagai Sindrom Terlupa Anak iaitu satu terma digunakan pihak berkuasa bagi merujuk kes ibu bapa atau penjaga tertinggal anak di dalam kenderaan.

Kecuaian serius seperti ini berlaku terutama di Malaysia dengan suhu mencapai sehingga 40 darjah Celsius di dalam kereta yang diparkir pada waktu panas.

Untuk pengetahuan, ibu bapa yang meninggalkan anak di dalam kereta sehingga menyebabkan kematian boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau Seksyen 304 iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Di negara kita, setakat ini masih tiada kempen kesedaran secara formal atau sistematik dilakukan untuk mencegah kanak-kanak daripada ditinggalkan di dalam kenderaan.

Jadi apakah pendekatan yang dapat diambil untuk mendidik masyarakat agar tidak terlupa anak mereka di dalam kereta?

Mungkin ibu bapa atau keluarga sentiasa meletakkan beg kerja dan telefon bimbit mereka berhampiran tempat duduk anak supaya tidak terlupa ketika meninggalkan kenderaan.

Selain itu, meletakkan alat mainan di hadapan kenderaan serta memasang kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian tengah tempat duduk kereta yang mudah dilihat untuk mengingatkan kita anak ada bersama-sama di dalam kenderaan.

Namun langkah pencegahan ‘aktif’ memerlukan ibu bapa atau penjaga sentiasa mengingatkan diri mereka dengan langkah-langkah ini.

Insiden tertinggal anak selalunya berlaku apabila seseorang itu dalam keadaan tergesa-gesa sehingga terlepas dalam strategi pencegahan ‘aktif’ ini.

Sebagai contoh, jika meninggalkan telefon berhampiran anak, ada yang masih terlupa telefon bimbit mereka dan akhirnya membawa akibat buruk.

Maka sudah tiba masanya, satu pendekatan atau sistem penggera direka khas dipasang di dalam kenderaan sebagai peringatan kepada ibu bapa atau penjaga berkenaan anak-anak mereka.

Ia sama seperti menggunakan tali pinggang kaledar ketika memandu, dan sistem itu juga berfungsi mengingatkan kita jika mempunyai anak di dalam kenderaan.

Pihak pengeluar kenderaan juga mungkin dapat memperkenalkan teknologi baharu dengan mewujudkan sistem penggera pengesan kanak-kanak di dalam kereta.

Seiring teknologi canggih dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin maju, ciri keselamatan tersebut mampu dibangunkan kerana sudah menjadi trend pengeluar kereta dunia berlumbalumba memperkenalkan kenderaan pintar.

Setakat ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) cuba membangunkan prototaip sistem untuk mengesan kanak-kanak yang tertinggal secara tidak sengaja di dalam kenderaan berkunci, dipanggil MyCINTA.

Sistem ini menggunakan penderia gerakan dan bunyi untuk mengesan kehadiran kanak-kanak di dalam kenderaan apabila enjin dimatikan, dan secara automatik memberitahu pemandu, pengguna sistem dan orang hubungan kecemasan melalui panggilan telefon dan SMS.

SMS tersebut menyertakan koordinat lokasi kenderaan, yang boleh diakses melalui aplikasi sistem navigasi seperti Peta Google.

Sekiranya usaha ini berjaya, sekurang-kurangnya inisiatif ini dapat membantu memastikan kanak-kanak yang terperangkap segera ditemui dan diselamatkan.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha