SINGAPURA: Singapura akan membangunkan unit penjana ‘Combined Cycle Gas Turbine’ baharu yang siap sedia bagi hidrogen.
Operasi dijangka bermula pada 2029, menurut Lembaga Pasaran Tenaga (EMA), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, lapor Xinhua.
“Dengan permintaan tenaga yang semakin meningkat, adalah penting untuk memastikan bekalan tenaga mencukupi bagi memenuhi keperluan harian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EMA, Puah Kok Keong.
Beliau juga menekankan peralihan Singapura ke arah masa depan tenaga rendah karbon.
Unit penjana baharu itu akan dibangunkan oleh PacificLight Power, sebuah peruncit elektrik yang berpangkalan di Singapura.
Unit tersebut mempunyai kapasiti penjanaan sekurang-kurangnya 600 megawatt.
Terletak di Pulau Jurong, kemudahan ini dijangka mampu beroperasi dengan sekurang-kurangnya 30 peratus hidrogen pada peringkat awal.
Negara itu merancang untuk menggunakan 100 peratus hidrogen pada masa hadapan, menurut kenyataan syarikat.
Permintaan tenaga Singapura dilaporkan terus meningkat, dipacu oleh sektor-sektor yang memerlukan penggunaan elektrik intensif seperti pembuatan maju dan ekonomi digital, menurut EMA.
Permintaan sistem kuasa Singapura diunjurkan berkembang pada kadar tahunan kompaun antara 3.7 peratus hingga 5.7 peratus dalam tempoh enam tahun akan datang, dan mencecah antara 10.1 gigawatt hingga 11.8 gigawatt menjelang 2030. — Bernama



