Singapura sasaran pasaran produk tani

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Jalan Robinson Singapura minggu ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan, Singapura merupakan tempat terbaik untuk memasarkan produk pertanian dan pelancongan.

“Singapura sangat mementingkan produk pertanian berkualiti termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika kita berjaya membawa masuk hasil pertanian kita ke sana bermakna kita telah menepati piawaian kualiti yang ditetapkan mereka.

“Saya percaya rakyat Sarawak dapat menghasilkan keluaran yang berkualiti seperti yang ditetapkan oleh mereka, ia akan menjadi hasil tuaian yang baharu bagi kita di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Gawai Dayak Negeri 2019 di Hotel Imperial, malam kelmarin.

Tambahnya, para petani perlu menggunakan teknologi baharu dan menerapkan teknologi digital dalam aktiviti petanian serta meng- gunakan kaedah pertanian yang moden seperti fertigasi.

“Saya berjumpa dengan ketua kampung di Sibu yang menggunakan kaedah fertigasi untuk menanam cili dan dia mampu menjual hasilnya dengan harga RM20 sekilo.

“Ia merupakan contoh yang baik dalam pertanian moden, jika kita mempunyai pengeluaran yang kumulatif tidak mustahil kita dapat menjual cili kita ke Singapura,” jelasnya.

Ujarnya, pertanian moden dapat membantu meningkatkan tahap pendapatan petani, dan juga ekonomi negeri ini.

“Kerajaan Sarawak di bawah GPS juga akan terus memastikan hasil tambahan daripada cukai jualan lima peratus berjalan dengan baik dan hasilnya diperuntukkan kepada pembangunan infrastruktur asas, utiliti dan teknologi khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Abang Johari juga berkata, pada Hari Gawai ini sepatutnya mengingatkan rakyat bagaimana ia diisytiharkan sebagai cuti umum oleh Datuk Seri Tra Zehnder di Majlis Negeri pada 1962.

“Perkara tersebut disokong oleh bapa saya Tun Abang Openg Abang Sapiee, dan kemudiannya diluluskan pada 1964.

“Kita juga perlu berterima kasih kepada Yang Maha Berkuasa kerana rakyat Sarawak terus menikmati kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum hingga hari ini. Dengan ikatan dan pemahaman yang kukuh, kita dapat membawa masa hadapan Sarawak ke arah yang lebih baik.

Suara Sarawak