SINGAPURA: Singapura menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadamkan kebakaran hutan ketika jerebu di rantau ini semakin teruk, menurut Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Grace Fu.
Fu memaklumkan beliau telah menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia, Jumhur Hidayat, untuk menyatakan sokongan kepada negara jiran itu yang bergelut dengan kebakaran susulan cuaca kering di seluruh rantau.
Selain merakamkan penghargaan atas usaha menteri Indonesia itu mengawal kebakaran, beliau memberitahu media Singapura bahawa republik itu bersedia membantu setakat termampu dan menyokong perbincangan kerjasama serantau mengenai isu jerebu.
Dalam pada itu, Fu menegaskan Singapura mempunyai rancangan untuk melindungi kesihatan awam, termasuk stok topeng N95 yang mencukupi, manakala Pasukan Petugas Jerebu bermesyuarat secara berkala dan topeng akan diedarkan apabila PSI 24 jam mencapai 200.
Pada Sabtu, kualiti udara di seluruh Singapura kekal tidak sihat dengan PSI 24 jam antara 122 dan 171, manakala ASMC melaporkan jerebu asap rentas sempadan sederhana masih diperhatikan di Semenanjung Malaysia, Singapura, Kalimantan, Sarawak dan selatan Sumatera seperti dilapor Bernama.



