KUCHING: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIRIM Berhad dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi, inovasi dan pensijilan.
Kerjasama itu turut merangkumi peningkatan kualiti, pembangunan produk, penyelidikan dan inovasi, pensijilan, pengujian, latihan serta perkhidmatan perundingan.
SIRIM Berhad dalam satu kenyataan berkata, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengkomersialan produk serta teknologi termasuk pelaksanaan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan pensijilan sistem pengurusan berkaitan.
“Melalui kepakaran teknikal SIRIM, kerjasama ini dijangka menyokong keupayaan pengeluaran BVT, sekali gus memperkukuh sistem pengurusan kualiti serta membantu memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan dan piawaian berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kerjasama strategik itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan pembangunan produk berasaskan teknologi, di samping meningkatkan daya saing industri menerusi penerapan standard, kualiti dan amalan terbaik.
Sementara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran MoU yang melibatkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Nik Sazali Nik Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif BVT, Ts. Hazwan Razak.
Program yang berlangsung di Taman BioIndustri Sarawak itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn serta Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir. (Dr.) Khairol Anuar Mohamad Tawi.



