KUCHING: Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 membuka peluang Sarawak menjana tenaga bersih sehingga 1,330 megawatt daripada sumber lestari dan sisa jika diuruskan secara sistematik.
ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, potensi ini bukan anggaran semata-mata tetapi berdasarkan ketersediaan sebenar bahan mentah seperti biojisim pertanian, kayu, sisa pepejal bandar dan sisa ternakan.
“Biojisim pertanian berpotensi menjana 550 MW kayu 600 MW sisa pepejal bandar 40 MW manakala sisa ternakan 140 MW menjadikan jumlah keseluruhan 1,330 MW.
“Jumlah tenaga ini bersamaan sebuah loji besar dan mampu mempelbagaikan sumber elektrik negeri sekali gus meletakkan Sarawak di barisan hadapan pembangunan industri hijau serantau” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang yang dibentangkan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada persidangan DUN ke-19 Sarawak, hari ini.
Menurutnya lagi, Rang Undang-Undang ini menyediakan peraturan tersusun yang membolehkan peluang ekonomi baharu direalisasikan dengan selamat dan menguntungkan menjadikan sisa sumber ekonomi dan tenaga bersih.
Mengulas lanjut mengenai kelebihan Rang Undang-Undang ini ialah, menggalakkan penyertaan sukarela daripada industri komuniti dan pihak berkuasa tempatan untuk menyumbang sisa atau biojisim kepada pemproses bertauliah.
Menurutnya, banyak ladang kilang pengusaha kayu dan penternak sudah menghasilkan bahan buangan yang boleh diubah menjadi elektrik, biofuel, biogas, baja atau bahan kitar semula.
“Dengan penyertaan sukarela kita dapat mengurangkan beban penguatkuasaan dan menggalakkan amalan hijau” jelasnya.
Menurutnya lagi, Rang Undang-Undang ini juga bertujuan mengatasi pencemaran, pembuangan haram, bau busuk dan sungai tercemar dengan memantau rantaian sisa dari awal hingga akhir.
Menerusi langkah ini, udara akan menjadi lebih bersih, tapak pelupusan bertahan lebih lama, kadar kitar semula meningkat, dan pelepasan gas rumah hijau dari sisa organik dapat dikurangkan.
“Penguatkuasaan tegas diperlukan kerana masih wujud masalah pembuangan haram pengangkut tidak berlesen dan pengitar semula tidak bertanggungjawab” jelasnya.



