SARIKEI: Masyarakat Dayak terus menjadi tulang belakang industri kelapa sawit Sarawak apabila mewakili majoriti daripada hampir 55,000 pekebun kecil yang terlibat dalam sektor berkenaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, daripada 54,984 pekebun kecil yang direkodkan di Sarawak, seramai 43,916 orang merupakan masyarakat Dayak dengan keluasan tanaman mencecah 285,034 hektar.
“Kelapa sawit bukan sekadar tanaman, tetapi talian hayat yang membantu menjamin pendidikan anak-anak dan masa depan generasi akan datang.
“Justeru, saya boleh katakan bahawa tanaman sawit dan masyarakat Dayak di Sarawak ibarat berpisah tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Aram Besawit 2026 anjuran Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) di Dewan Suarah di sini, kelmarin.
Menurut beliau, angka tersebut membuktikan hubungan yang amat rapat antara masyarakat Dayak dengan industri sawit yang menjadi sumber pendapatan utama bagi ribuan keluarga di negeri ini.
Dalam pada itu katanya, industri sawit kini berdepan pelbagai tuntutan baharu di peringkat antarabangsa yang memerlukan pengeluar membuktikan amalan pengeluaran yang mampan dan bertanggungjawab.
“Dunia hari ini tidak lagi melihat sawit hanya daripada aspek kualiti minyak yang dihasilkan, tetapi turut menilai sama ada pengeluar mematuhi aspek kemampanan, menjaga kebajikan pekerja dan mempunyai rantaian bekalan yang boleh dijejak.
“Sebab itu program ilmu seperti ini amat penting supaya pekebun kecil kita tidak ketinggalan dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau turut menggesa semua ahli DOPPA memanfaatkan peluang mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melalui inisiatif Kluster Minyak Sawit Lestari (SPOC) yang disediakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurut beliau, pensijilan MSPO merupakan kunci penting bagi membolehkan produk sawit negara menembusi pasaran premium antarabangsa.
Huang turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas usaha memperkukuh pembangunan industri hiliran berasaskan sawit termasuk menerusi inisiatif sisa kepada tenaga.
“Pendekatan tersebut bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah mampu mewujudkan nilai tambah kepada industri serta meningkatkan manfaat ekonomi kepada pekebun kecil.
“Transformasi sisa sawit kepada tenaga hijau membuka peluang baharu kepada industri dan pada masa sama membantu meningkatkan daya tahan ekonomi sektor ini,” katanya.



