KUCHING: “Sisa kepada Harapan” diangkat sebagai tema rasmi bagi Hari Alam Sekitar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, Hari Alam Sekitar MBKS 2025 akan diadakan pada Sabtu ini dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kami di MBKS ingin membawa aspirasi untuk mengubah sisa menjadi sumber yang bermakna melalui usaha yang inovatif dan berasaskan komuniti.
“Program yang akan berlangsung selama tiga jam ini akan dipenuhi dengan beberapa aktiviti yang berimpak tinggi dan inklusif buat masyarakat,”ujar beliau ketika hadir sidang media Hari Alam Sekitar MBKS 2025 di sini, hari ini.
Wee berkata Pasar Tani Semula Jadi Kuching akan diperkenalkan dan berlangsung esok di Sayap Lama MBKS.
“Ini kali pertama kami akan memperkenalkan Pasar Tani Semula Jadi Kuching yang melibatkan sebanyak 31 gerai.
“Gerai-gerai ini menawarkan pelbagai hasil tani segar, barangan buatan tangan semula jadi dan produk tempatan mesra alam.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempromosikan gaya hidup lestari dan menyokong usahawan tempatan yang turut menjadi satu platform pendidikan bagi mendidik masyarakat menghargai nilai makanan tempatan dan gaya hidup yang mampan,”jelasnya.
Menjelas lanjut, program tahunan seperti Program Bank Sampah juga tidak ketinggalan.
“Program kitar semula ini merangkumi pengumpulan sisa elektrik, minyak masak terpakai dan program beli balik MBKS.
“Menerusi program ini, ia menggalakkan amalan pelupusan dan kitar semula yang bertanggungjawab di peringkat komuniti, juga menyumbang kepada Kuching yang lebih bersih dan sihat,”tambah Wee.
Acara kemuncak iaitu Pertandingan Fesyen Eco Glam Face-Off juga diadakan melibatkan penyertaan murid tadika dan sekolah rendah dalam memperagakan fesyen hasil daripada bahan kitar semula.
“Terdapat dua kategori umur yang ditawarkan iaitu kategori pertama untuk empat hingga enam tahun, manakala kategori kedua ialah tujuh hingga 12 tahun.
“Tempat pertama setiap kategori masing-masing menerima sijil dan wang tunai RM300, naib johan RM200 dan ketiga RM100.
“Kami juga menyediakan lima hadiah sagu hati RM50 dan sijil setiap satu kepada peserta yang bertuah,”katanya.



