SISTEM cukai berbeza-beza secara meluas di seluruh dunia, mencerminkan kepelbagaian landskap ekonomi, sosial dan politik negara.
Walaupun terdapat banyak variasi, sistem cukai biasanya mempunyai dua fungsi utama iaitu menjana hasil untuk kerajaan dan pengagihan semula kekayaan.
Satu aspek yang menonjol dalam sistem cukai ialah jenis cukai yang dikenakan, contohnya cukai pendapatan dikenakan ke atas individu dan syarikat yang merupakan sumber pendapatan asas bagi kebanyakan kerajaan.
Negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom pula menggunakan sistem cukai pendapatan progresif, dengan individu berpendapatan tinggi dikenakan cukai pada kadar lebih tinggi.
Sebaliknya, sesetengah negara pula lebih banyak bergantung pada cukai tidak langsung seperti cukai nilai tambah (VAT) atau cukai jualan.
Di negara-negara tertentu, cukai tersebut dirujuk sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sementara negara-negara Nordik (Eropah Utara) seperti Denmark, Sweden dan Norway terkenal dengan kadar cukai yang tinggi, terutama cukai pendapatan dan perkhidmatan.
Namun negara-negara ini menggunakan hasil cukai mereka untuk membiayai semula program kebajikan sosial yang meluas, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan bantuan pengangguran.
Sebaliknya, ada sesetengah negara mempunyai kadar cukai lebih rendah yang menarik perniagaan dan individu yang ingin meminimumkan beban cukai mereka.
Sebagai contoh, tempat perlindungan cukai (Tax Haven) seperti Bermuda dan Kepulauan Cayman, yang menawarkan persekitaran cukai pendapatan minimum atau tanpa cukai.
Di Singapura pula, rangka kerja cukainya direka untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta berdaya saing.
Republik ini mempunyai sistem cukai yang mudah iaitu cukai mereka adalah berdasarkan tahap hasil, sebagai contoh pendapatan peribadi mengikut struktur progresif, dengan kadar 0 peratus hingga 22 peratus.
Manakala untuk cukai pendapatan korporat berada pada kadar sama rata 17 peratus bagi memperkukuh daya tarikannya sebagai kota perniagaan.
Singapura turut menetapkan GST sebanyak 7 peratus, selain cukai hartanah dikenakan ke atas pelbagai jenis hartanah dengan kadar berbeza-beza berdasarkan jenis hartanah dan nilai tahunannya.
Di Malaysia pula, kerajaan kini menaikkan kadar cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac ini kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus.
Kadar baharu bagaimanapun tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta serta logistik.
Tetapi skop perkhidmatan bercukai ini sudah diperluaskan merangkumi pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2024 pada tahun lepas.
Sebelum ini pakar ekonomi mengatakan bahawa Malaysia adalah antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.
Menurut pakar ekonomi, Malaysia sebenarnya masih jauh ketinggalan iaitu di belakang Singapura serta Thailand, yang menggunakan sistem GST termasuk VAT.
Dasar cukai ini sebenarnya dibentuk oleh faktor budaya dan politik.
Di sesetengah negara, mereka mewajibkan pematuhan dan penguatkuasaan cukai, dengan mengenakan penalti berat bagi yang mengelak cukai.
Sementara yang lain mengutamakan kesederhanaan dan ketelusan dalam kod cukai mereka, bertujuan untuk memudahkan pematuhan bagi individu dan perniagaan.
Walaupun terdapat perbezaan ini, terdapat juga trend global yang membentuk sistem cukai.
Usaha antarabangsa untuk memerangi pengelakan cukai dan menggalakkan ketelusan cukai, yang diterajui oleh organisasi seperti Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) turut mempengaruhi dasar cukai di seluruh dunia.
Kebangkitan ekonomi digital juga mencetuskan perdebatan berhubung cara mengenakan cukai kepada syarikat multinasional yang beroperasi merentasi sempadan, yang membawa kepada perbincangan konsep seperti cukai perkhidmatan digital dan kadar cukai korporat minimum.
Kesimpulannya, sistem cukai di seluruh dunia adalah kompleks dan pelbagai rupa yang mencerminkan gabungan keutamaan ekonomi, sosial dan politik.



