KUCHING: Sistem pengairan titisan yang merupakan inovasi baharu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dalam proses penanaman padi diharap dapat menyumbang kepada peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) Sarawak bagi beras.
Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman, berkata sistem yang dilaksanakan di tapak ujian seluas satu ekar di CENTEXS Kuching dimulakan pada Disember tahun lepas.
“Apabila digunakan dalam penanaman padi, pengairan titisan boleh membantu dalam kecekapan penggunaan air, menambah baik pengurusan nutrien, kawalan penyakit, pengurangan kos buruh dan tenaga.
“Berdasarkan ketepatan amaun penggunaan sumber dalam proses pertanian ini, kami menjangkakan peningkatan hasil 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kaedah konvensional.
“Ia juga akan memberikan anda jumlah hasil yang lebih tepat,” katanya semasa ucapan pada program menuai padi di tapak ujian CENTEXS, hari ini.
Pada 28 November tahun lepas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata hingga 2022, Sarawak mengeluarkan 85,700 tan metrik beras yang merupakan 5.1 peratus daripada jumlah pengeluaran negara dan bersamaan 34 peratus daripada SSL negeri.





