ARTIKEL

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Farhana Ismail.

Sistem percukaian mudah tingkat pematuhan golongan muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sistem percukaian yang mudah difahami dilihat sebagai faktor penting dalam meningkatkan pematuhan pembayar cukai, khususnya dalam kalangan golongan muda, kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Farhana Ismail.

Beliau berkata, kumpulan tersebut cenderung untuk lebih patuh apabila memahami dengan jelas implikasi kegagalan mematuhi undang-undang.

Katanya, usaha memperkukuh kefahaman itu penting kerana tahap pematuhan yang tinggi membantu menstabilkan hasil kerajaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menambah baik pendekatan bagi menyokong rakyat secara menyeluruh.

“Dalam era digital, kita melihat sistem e-Filing turut memudahkan proses pemfailan apabila pembayar cukai boleh mengisi dan menghantar borang secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat.

“Kemudahan ini mengurangkan halangan dari segi masa dan kos transaksi, sekali gus meningkatkan kecenderungan individu untuk mematuhi kewajipan cukai,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai segelintir pihak yang culas membayar cukai, beliau memaklumkan antara faktor utama ialah kurangnya pendedahan dan pendidikan berterusan mengenai percukaian, termasuk peranan cukai dalam ekonomi negara.

“Sekiranya sistem percukaian dirasakan rumit atau sukar difahami, ia boleh menjejaskan niat golongan muda untuk mematuhi kewajipan walaupun mereka sedar tentang tanggungjawab tersebut.

“Justeru, beberapa pendekatan boleh dilaksanakan bagi meningkatkan literasi cukai dalam kalangan golongan muda, termasuk memperkenalkan pendidikan cukai seawal di universiti supaya graduan mempunyai pengetahuan asas sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Selain itu, sesi orientasi cukai untuk pekerja baharu di syarikat, termasuk latihan asas seperti pengiraan cukai dan penggunaan e-Filing serta penganjuran webinar atau sesi pendidikan secara berkala juga wajar diperluas bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai sistem pelepasan cukai, beliau berkata ia boleh diperluas agar lebih relevan dengan keperluan rakyat, termasuk kategori pelepasan perubatan, sokongan kepada ibu bapa, sumbangan amal dan aspek gaya hidup yang memberi impak langsung kepada kos sara hidup.

“Langkah-langkah ini berpotensi membantu isi rumah mengurus kewangan dengan lebih berkesan, sambil mengekalkan objektif dasar percukaian,” tegasnya.

Sebelum ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan bahawa perkhidmatan e-Filing bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) untuk Tahun Saraan 2025 dan Tahun Taksiran 2025 yang melibatkan Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF, TJ dan TP dibuka bermula 1 Mac lalu.

Pengemukaan BN secara mandatori menggunakan perkhidmatan dalam talian atau e-Filing melalui portal MyTax membolehkan pembayar cukai dan majikan mengakses serta mengemukakan maklumat secara terus dengan lebih mudah.

Kegagalan mengemukakan BN serta melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang dibenarkan boleh menyebabkan pembayar cukai dikenakan tindakan di bawah Subseksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. Tindakan itu boleh melibatkan denda antara RM200 hingga RM20,000, penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pembayar cukai yang lewat mengemukakan BN boleh dikenakan penalti di bawah Subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 berdasarkan tempoh kelewatan, dengan kadar antara 15 peratus hingga 45 peratus.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

A. Aida reda filem tiada sambutan

PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di

A310 VISION tampil futuristik

ALPINE memperkenalkan A310 Vision, sebuah kereta konsep eksklusif sempena ulang tahun ke-55 pengenalan model kereta sukan A310 pada 1971. Kereta konsep yang dihasilkan dalam satu