BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal kembali menghiburkan peminat menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara yang dijadualkan berlangsung di Stadium TM Nasional pada 17 Oktober depan.
Pengumuman mengenai konsert itu dibuat penyanyi tersohor berkenaan menerusi akaun Instagram miliknya, semalam.
Pada masa sama, Siti turut mengadakan siaran langsung khas selain mendendangkan lagu Joget Berhibur sebagai pembuka tirai kepada pengumuman tersebut.

Menurut Siti, konsert berkenaan merupakan tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selama ini.
Katanya, penganjuran konsert itu juga menjadi antara usaha untuk menghidupkan semula keindahan muzik tradisional agar terus dipelihara dan dihargai oleh generasi kini serta akan datang.
Beliau berharap peminat terus memberikan sokongan sebaik sahaja jualan tiket dibuka kelak, selain hadir memeriahkan malam persembahan yang bakal mengetengahkan keindahan irama warisan menerusi Gema Bumantara.
Dalam perkongsian sama, Siti turut menyelitkan serangkap pantun yang memuatkan beberapa judul lagu ikonik yang sinonim dengan perjalanan seninya, termasuk Cindai, Sahmura dan Hati Yang Rindu.
Katanya, konsert itu bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh penghargaan terhadap muzik tradisional yang menjadi sebahagian daripada warisan seni negara.
Beliau menegaskan irama tradisional mempunyai nilai warisan yang tidak ternilai dan wajar terus dipelihara agar kekal hidup serta relevan dalam industri muzik tanah air.
“Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama menghayati keindahan muzik warisan yang telah lama menjadi sebahagian daripada identiti budaya kita,” katanya.
Terdahulu, pada 10 Januari lalu, Siti mencipta sejarah tersendiri apabila Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza berjaya menarik kehadiran sekitar 65,000 peminat di Stadium TM Nasional.



