GANDINGAN adikberadik dari Sarawak, SJ Borneo mencipta sejarah membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga emas dalam Pertandingan Akhir World Championship International Competition 2025, yang berlangsung di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Dalam pertandingan berprestij yang menghimpunkan 178 pasukan dari pelbagai negara, SJ Borneo mencuri perhatian juri dan penonton antarabangsa dengan persembahan unik yang menyemarakkan budaya Borneo menerusi alunan muzik tradisional yang mengagumkan.
SJ Borneo dianggotai oleh Shawn Thien Shuen, 15 tahun, yang memainkan alat perkusi Afrika Djembe, serta adiknya, Jane Thien Jing, 12 tahun, yang memainkan sape, alat muzik bertali tradisional etnik peribumi Sarawak.
Menurut Shawn, dalam pertandingan tersebut, mereka mempersembahkan lagu klasik Melayu berjudul Anak Kampung dengan susunan semula yang kreatif, serta menyanyikannya dalam dua bahasa, iaitu Melayu dan Cina.
“Gabungan gaya muzik tradisional dan moden ini, lengkap dengan pakaian tradisional Sarawak, bukan sahaja menampilkan keunikan budaya tempatan, malah turut membangkitkan semangat kekitaan yang membanggakan rakyat Malaysia,” jelasnya. Bagi SJ Borneo, peluang untuk mewakili Sarawak dan Malaysia di pentas dunia merupakan satu penghormatan besar.
Segala usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MCTP) melalui pemberian dana mudah cara.
“Dana ini membantu merealisasikan impian kami untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa tersebut.
Kami turut menzahirkan penghargaan tinggi kepada kementerian kerana mempercayai potensi generasi muda dalam memperjuangkan seni warisan negeri,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Dalam pada itu, SJ Borneo turut meluahkan kesediaan untuk menyertai pelbagai acara kebudayaan, persembahan rasmi dan program berkaitan yang dianjurkan oleh kerajaan atau agensi berkaitan sebagai tanda terima kasih atas peluang yang diberikan.
Bagi mereka, pengalaman ini bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi, tetapi juga tanggungjawab untuk terus memperjuangkan muzik tradisional dan memperkenalkan keindahan Sarawak kepada dunia.
Ujarnya, dunia muzik tidak lengkap tanpa menyebut jasa para guru yang sentiasa menyokong dan membimbing sejak awal lagi.
Justeru, SJ Borneo mengucapkan ribuan terima kasih kepada tenaga pengajar seperti Cikgu Elizabeth Bungan, Danison Manium, Frederick Maldini, Sim Kok How, Sky Lim, Narawi Rashidi, Cikgu Jerremmy Mikka, Cikgu Wong Yung Fong, Cikgu Jenny Tan, Jong Wei Khim dan ramai lagi yang memainkan peranan besar dalam perkembangan mereka.
“Kami juga berterima kasih kepada pihak sekolah, iaitu Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 untuk Shawn dan SJK(C) Chung Hua No. 3 untuk Jane atas dorongan dan peluang yang berterusan,” ujarnya sejak awal lagi.
Justeru, SJ Borneo Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 untuk Shawn dan SJK(C) Chung Hua No. 3 untuk Jane atas dorongan dan peluang yang berterusan,” ujarnya.
Pengetua mereka, Bong Nyuk Siong dan Lee Chee Beng, turut menerima penghargaan khas daripada adik-beradik ini atas segala sokongan yang diberikan dari segi moral mahupun akademik.
Di samping itu, SJ Borneo juga mendapat inspirasi daripada tokoh-tokoh terkenal dalam dunia muzik sape seperti Dines Ngau Wan, Hallan Hashim, Standford Ryan, Anderson Kalang, Alena Murang, Jerry Kamit, Mathew Ngau Jau, At Adau dan Hezekiah Asim.
“Tokoh-tokoh ini bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kami, tetapi juga ikon budaya yang membimbing kami dalam seni muzik etnik.
“Kami juga tidak melupakan dua organisasi penting yang membuka jalan kami untuk terus berkembang, iaitu Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) dan Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES Orkestra).
“PUSAK merupakan platform komuniti pertama yang memperkenalkan kami kepada dunia sape, manakala POTRES Orkestra menyediakan latihan berstruktur serta pentas persembahan yang penting dalam pembinaan keyakinan dan kemahiran,” ujarnya lagi.
Kini, selepas meraih pengiktirafan antarabangsa, SJ Borneo berhasrat untuk terus mengangkat martabat muzik tradisional Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
Moto mereka, ‘Sape Untuk Semua’, mencerminkan komitmen mereka untuk memperluaskan jangkauan muzik etnik ini ke pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, usia atau latar belakang.
Mereka percaya bahawa muzik adalah bahasa universal dan warisan budaya seperti sape wajar dihargai di seluruh dunia.
Dengan semangat yang berkobar-kobar dan bakat yang semakin menyerlah, SJ Borneo dilihat sebagai antara ikon muda yang mampu memperkukuh identiti budaya Malaysia di peringkat global.
Selain menghibur, mereka turut menyampaikan mesej penting tentang keunikan dan nilai budaya Borneo, yang menjadi harta warisan yang perlu terus dipelihara.
Untuk pengetahuan, lebih 500 penonton antarabangsa menyaksikan persembahan SJ Borneo yang penuh warnawarni dan sarat dengan nilai budaya.
Sorakan dan tepukan gemuruh bergema di dewan sejurus persembahan mereka berakhir, menunjukkan betapa besar impak yang diberikan oleh gandingan adik-beradik ini.
Lebih membanggakan, juri-juri daripada 25 negara memberikan pujian sebulat suara terhadap kreativiti, ketepatan teknikal dan semangat budaya yang dipaparkan mereka di pentas.
Negara-negara yang turut serta termasuk Australia, Brunei Darussalam, Bulgaria, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan banyak lagi, menjadikan pencapaian ini benar-benar bermakna.
Untuk terus mengikuti perkembangan dan persembahan SJ Borneo, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi mereka, SJ Borneo – Shawn & Jane.
Kejayaan mereka ini diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mencintai dan memperjuangkan seni warisan tanah air.



