BINTULU: Usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di kawasan Tanjong Batu terus diperkukuh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, melakukan lawatan kerja bagi meninjau pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tanjong Batu Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony, di sini.
Lawatan tersebut turut disertai pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) serta wakil Pejabat Residen Bintulu bagi memastikan setiap komponen naik taraf yang dirancang menepati keperluan semasa sekolah berkenaan.

Bagi tahun 2025, SK St. Anthony menerima beberapa peningkatan prasarana di bawah peruntukan RTP, merangkumi pembaikan pentas dan siling dewan sekolah serta pengubahsuaian makmal Sains.
Menurut Johnny Pang, pembaikan dewan merupakan keutamaan memandangkan kemudahan itu menjadi lokasi penganjuran pelbagai program penting sekolah.
“Keselamatan murid dan guru menjadi keutamaan. Dengan pentas yang kukuh dan selamat, sekolah dapat melaksanakan aktiviti tanpa sebarang risiko,” jelasnya.
Beliau berkata, makmal Sains turut diberi perhatian khusus selepas sebahagian besar peralatan didapati rosak dan tidak lagi sesuai digunakan.
“Naik taraf ini merangkumi pembaikan pintu, tingkap dan peralatan asas bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran Sains dapat berjalan dengan lebih efektif,” tambahnya.
Johnny Pang menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai teras pembangunan DUN Tanjong Batu, justeru sekolah yang memerlukan pembaikan mendesak diberi keutamaan di bawah RTP 2025.
“SK St. Anthony merupakan antara sekolah yang kita beri perhatian segera kerana keadaan kemudahannya memberi kesan langsung terhadap persekitaran pembelajaran,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh usaha mendapatkan autonomi pendidikan, sekali gus mempercepat proses penambahbaikan sekolah di seluruh negeri.






