SADONG JAYA: Penyediaan bilik serbaguna bernilai RM100,000 di Sekolah Kebangsaan Sungai Buluh/Senangeh menjadi bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pelajar luar bandar menikmati kemudahan pendidikan setanding sekolah bandar.
ADUN Simunjan Awla Dris berkata, bilik tersebut bakal memberi ruang pembelajaran yang selesa serta mampu menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti sekolah secara lebih tersusun.
“Bilik serbaguna ini berfungsi sebagai bilik mesyuarat, kelas tambahan, aktiviti kokurikulum, latihan pelajar serta program rasmi sekolah.
“Ia akan memberi ruang lebih baik untuk guru melaksanakan aktiviti pendidikan, manakala murid pula dapat belajar dan beraktiviti dalam persekitaran yang kondusif,” katanya ketika merasmikan penyerahan bilik tersebut, hari ini.
Jelasnya, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri membangunkan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, pihak kontraktor dan pihak sekolah atas usaha memastikan projek siap mengikut spesifikasi.
“Oleh itu, saya menyeru agar warga sekolah menjaga dan memanfaatkan kemudahan tersebut demi kepentingan generasi akan datang,” ujarnya.



