Inisiatif kebajikan rakyat sentiasa menjadi ukuran sejauh mana sesebuah kerajaan benar-benar memahami denyut nadi masyarakat.
Di Sarawak, usaha tersebut terus diperkukuh melalui pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), iaitu bantuan yang memberi kelegaan kepada ramai rakyat negeri ini, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Lebih bermakna apabila pengumuman mengenai penyaluran bantuan tersebut dibuat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, ketika kebanyakan keluarga sedang membuat persiapan menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Sudah tentu, ramai rakyat menyambut baik berita tersebut dengan penuh kesyukuran.
Hal ini demikian kerana musim perayaan sememangnya memerlukan perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding dengan hari-hari biasa.
Selain keperluan harian seperti makanan, keluarga juga perlu membeli pakaian baharu, menyediakan juadah untuk tetamu serta menguruskan pelbagai perbelanjaan lain.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan seperti SKAS sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat.
Pengumuman mengenai bantuan ini dibuat oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang memaklumkan pembayaran SKAS pada tahun ini dikreditkan kepada penerima yang layak sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, pelaksanaan bantuan tersebut bertujuan membantu rakyat Sarawak membuat persiapan menjelang musim perayaan, khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
Bantuan itu turut dikreditkan terus ke akaun SPay Global, sekali gus memudahkan penerima menyemak dan menggunakan bantuan tersebut dengan cepat serta selamat.
Langkah menyalurkan bantuan melalui platform digital juga menunjukkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkenalkan sistem penyampaian yang lebih cekap dan moden.
Rakyat tidak perlu beratur panjang atau menunggu proses yang rumit untuk menerima bantuan.
Sebaliknya, mereka hanya perlu menyemak akaun masingmasing dan bantuan tersebut sudah tersedia untuk digunakan.
Inisiatif ini juga selari dengan usaha Sarawak untuk memperkukuh ekonomi digital dan memperluas penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.
Lebih menarik, kadar bantuan SKAS pada tahun ini turut ditingkatkan sebagai langkah memperkukuh jaringan keselamatan sosial di negeri ini.
Bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, jumlah bantuan meningkat daripada RM800 kepada RM950 setahun.
Peningkatan ini memberi ruang tambahan kepada keluarga untuk menampung kos pembelian barangan dapur, keperluan harian serta pelbagai perbelanjaan lain yang semakin meningkat saban tahun.
Sementara itu, golongan warga emas tanpa pasangan atau anak dalam kategori pendapatan yang sama turut menerima manfaat daripada peningkatan ini apabila bantuan dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 setahun.
Golongan ini sering berdepan dengan cabaran tersendiri kerana kebanyakannya bergantung pada sumber pendapatan yang terhad.
Dengan adanya bantuan tambahan ini, sekurangkurangnya mereka dapat membeli keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan harian tanpa terlalu bimbang tentang kekangan kewangan.
Individu bujang yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah juga tidak dilupakan. Bantuan kepada golongan ini meningkat daripada RM250 kepada RM300 setahun.
Walaupun jumlahnya mungkin kelihatan kecil, bagi golongan yang masih mencari kestabilan ekonomi atau baru memulakan kerjaya, bantuan tersebut tetap memberi makna yang besar.
Bantuan tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan dapur, membayar bil utiliti atau menampung perbelanjaan harian sementara menunggu gaji.
Hakikatnya, bantuan seperti SKAS bukan sekadar pemberian kewangan semata-mata. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Melalui dasar yang dirancang dengan teliti, Kerajaan Sarawak berusaha memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Pendekatan ini juga menunjukkan pembangunan ekonomi negeri perlu berjalan seiring dengan usaha menjaga kesejahteraan rakyat.
Manfaat SKAS sebenarnya dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Antaranya, bantuan ini membantu memastikan makanan sentiasa ada di atas meja, terutama bagi keluarga yang berdepan kesukaran kewangan sementara menunggu gaji.
Dalam keadaan harga barangan yang tidak menentu, bantuan ini memberi jaminan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan bahan makanan lain dapat terus dibeli.
Seterusnya, bantuan ini memberikan ketenangan fikiran kepada rakyat, khususnya ketika musim perayaan.
Tanpa perlu terlalu risau tentang perbelanjaan tambahan, keluarga dapat membuat persiapan hari raya dengan lebih teratur.
Anak-anak dapat merasai kegembiraan menyambut perayaan, manakala ibu bapa pula tidak terlalu tertekan memikirkan kos yang perlu ditanggung.
Dalam pada itu, SKAS turut merancakkan ekonomi tempatan secara tidak langsung.
Apabila rakyat menerima bantuan dan membelanjakannya untuk membeli barangan keperluan, peniaga kecil dan sederhana turut mendapat manfaat.
Kedai runcit, pasar, gerai makanan dan pelbagai perniagaan tempatan akan menerima lebih ramai pelanggan, sekali gus menggerakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.
Selain itu, inisiatif ini memperkukuh rasa kebersamaan antara kerajaan dengan rakyat.
Apabila rakyat melihat usaha kerajaan membantu mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan, keyakinan terhadap kepimpinan negeri akan terus meningkat.
Hubungan yang erat antara kerajaan dengan rakyat inilah yang menjadi asas kepada pembangunan yang mampan dan seimbang.
Justeru, SKAS bukan sekadar satu program bantuan kewangan, tetapi juga simbol keprihatinan dan tanggungjawab sosial kerajaan terhadap rakyat.
Dalam suasana masyarakat yang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi, inisiatif seperti ini memberikan harapan bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi agenda utama.
Bagi rakyat Sarawak, bantuan ini mungkin kelihatan sederhana, tetapi kesannya cukup besar dalam kehidupan seharian.
Bantuan ini membantu meringankan beban, memastikan dapur terus berasap dan memberi ruang kepada keluarga untuk menyambut perayaan dengan lebih bermakna.
Terima kasih Abang Johari kerana terus memikirkan kebajikan rakyat Sarawak.



