KUCHING: Skim pencen yang diperkenalkan oleh kerajaan kelak bukan sahaja lebih bermakna, tetapi kekal serta boleh dipercayai dan lestari untuk generasi akan datang, kata ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap.
Mengakui bahawa warga emas mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan, beliau berkata Sarawak mesti melangkah dengan penuh tanggungjawab dengan cara yang lestari.
“Kita perlu terus menumpukan kepada peningkatan pendapatan dan memberikan bantuan khusus kepada kumpulan warga emas yang paling memerlukan.
“Pada masa yang sama, menjalankan kajian kelayakan penuh berkaitan skim pencen sejagat seperti yang diminta oleh rakyat.
“Apabila masanya tiba, apabila rizab kita kukuh dan struktur kewangan kita stabil, skim pencen yang kita perkenalkan akan mampu bertahan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Menyentuh cadangan pemberian pendapatan persaraan sebanyak RM200 sebulan seumur hidup bagi semua rakyat Sarawak berumur 65 tahun ke atas, beliau berkata ia mencerminkan kepercayaan warga emas terhadap Kerajaan Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melindungi kebajikan mereka.
“Namun, kita juga mesti menghadapi realiti jangka panjang memandangkan Sarawak mempunyai lebih 300,000 warga emas.
“Dengan RM200 sebulan bagi setiap orang, kos tahunan adalah sebanyak RM720 juta. Ini belum lagi mengambil kira inflasi, jangka hayat yang meningkat dan perubahan demografi pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, beliau memuji bahawa Bajet Sarawak 2026 bersifat menyeluruh, dibina atas disiplin, strategi jangka panjang dan mengikut pelan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.



