KUCHING: Pengenalan pendidikan tinggi percuma bermula 2026 akan memastikan tiada pelajar layak di Sarawak dinafikan hak untuk melanjutkan pengajian akibat kekangan kewangan.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu turut merangkumi tawaran pendidikan percuma kepada rakyat Sarawak berumur bawah 40 tahun yang ingin menyambung pengajian sepenuh masa pada tahun yang sama.
Katanya, ketika lawatan kerja Kerajaan Sarawak ke United Kingdom baru-baru ini, perbincangan strategik turut diadakan bersama-sama Universiti Cambridge sebagai sebahagian daripada program untuk memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
“Walaupun kita sedang membina asas kepada ekonomi baharu, kita juga mesti memastikan rakyat kita dilengkapi dengan pendidikan dan bakat yang bersesuaian supaya mereka bukan sekadar penerima manfaat, tetapi turut menjadi penyumbang aktif kepada transformasi ekonomi Sarawak hari ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata, fokus kerajaan negeri bukan sahaja kepada pembangunan fizikal, tetapi turut memberi perhatian kepada pemerkasaan modal insan, sosial dan semula jadi, selaras dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Menurut Abang Johari, dasar pendidikan percuma ini bukan sekadar satu polisi, tetapi merupakan satu janji kukuh kepada pihak industri bahawa Sarawak akan memiliki tenaga kerja yang berbakat, mahir serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Ia adalah janji kepada diri kita sendiri bahawa kita akan membina sebuah Sarawak di mana kejayaan ditentukan oleh bakat dan usaha, bukan kekayaan,” tegasnya.


