MUKAH: Orang ramai digesa merebut peluang mendapatkan khidmat nasihat, maklumat dan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah, bermula 2 hingga 4 Oktober ini.
Program tersebut menghimpunkan 50 agensi kerajaan, badan berkanun serta rakan strategik yang menyediakan 170 perkhidmatan untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.
ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, penganjuran program ini memberi peluang kepada masyarakat berurusan secara terus dengan pelbagai agensi dalam satu platform.
“Kerjasama antara semua pihak yang terbabit penting bagi memastikan setiap perkhidmatan dapat disampaikan dengan lancar dan berkesan.
“Orang ramai seluruh bahagian Mukah perlu mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta perkhidmatan yang disediakan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan dan Sidang Media Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Mukah di sini, hari ini.



