ARTIKEL

BERCAKAP… Hii bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas acara Fun Run dan Fun Walk SKS 2026 di Sibu, hari ini. Foto UKAS

SKS 2026 Sibu terima sambutan menggalakkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sambutan luar biasa masyarakat terhadap Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Sibu terserlah apabila lebih 7,000 peserta membanjiri Dataran Tun Tuanku Haji Bujang bagi menyertai acara Fun Run dan Fun Walk yang menjadi pengisian utama pada hari terakhir program itu.

Jumlah penyertaan yang melebihi sasaran asal mencerminkan sokongan padu masyarakat pelbagai kaum dan lapisan umur terhadap inisiatif Kerajaan Sarawak yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat serta penglibatan komuniti.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa SKS Bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong, Datuk Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, serta ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat.

Hii berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga pihak penganjur membuka semula kaunter pendaftaran bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Pada mulanya kita menetapkan sasaran tertentu, namun disebabkan sambutan yang amat menggalakkan, kita membuka lagi penyertaan dan kini jumlah peserta yang berdaftar melebihi 5,000 orang.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat Sibu atas sokongan dan penyertaan yang begitu menggalakkan dalam Program Sarawakku Sayang, khususnya acara Fun Run dan Fun Walk hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Acara rekreasi itu menyaksikan peserta melalui laluan di sekitar pusat bandar Sibu dalam suasana ceria, sekali gus memupuk amalan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan agensi kerajaan.

Selain acara larian dan berjalan santai, kawasan program turut dimeriahkan dengan Aerobicthon Challenge 2026 yang menghimpunkan ratusan peserta dalam aktiviti kecergasan secara berkumpulan.

Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Sibu yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini selepas menampilkan pelbagai pengisian termasuk penyampaian perkhidmatan kerajaan, pameran, aktiviti komuniti dan program kesihatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU